‘Lebih menarik dengan diketuai pasukan muda yang berwibawa’

Tasnim (kiri) dan Rozaid
Tasnim (kiri) dan Rozaid
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Sinar Karangkraf yang secara rasminya pada Sabtu, melancarkan portal harian bahasa Inggerisnya yang baharu diketuai oleh barisan wartawan muda yang mantap dan berwibawa.

Menurut Ketua Pegawai Pengisian merangkap Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Karangkraf, Rozaid Rahman, portal baharu berkenaan akan diketuai oleh penerima pingat perak Anugerah Laporan Berita Terbaik Untuk Akhbar di Malam Anugerah Media Asia 2018, Tasnim Lokman.

Tasnim, 31, dan pasukan muda di bawah pimpinannya seramai 25 orang akan menggunakan platform digital sepenuhnya untuk menyampaikan laporan berita serta rencana menerusi konsep menarik, ringkas dan padat.

Pelbagai segmen menarik dalam Sinar Daily.
Pelbagai segmen menarik dalam Sinar Daily.

Sinar Daily juga akan memberi fokus khusus untuk berkomunikasi secara terus dengan pembacanya menerusi kesemua platform digital dan media sosial.

“Mereka bukan sahaja terdiri daripada penulis dan penerima anugerah kewartawanan tempatan dan antarabangsa tetapi juga berpengalaman dalam mendepani media baharu dan digital.

“Kumpulan penulis muda ini akan membuktikan bahawa kewartawanan sebenar, tidak mati dan pupus di sebalik percambahan pelbagai platform media sosial tetapi masih bersemangat, segar dan dinamik dalam bentuk yang baharu serta progresif,” ujar Rozaid.

Beliau menegaskan, penambahbaikan serta adaptasi dalam landskap industri media yang serba baharu dan mencabar hari ini tanpa mengetepikan prinsip-prinsip asas kewartawanan seperti telus, periksa dan imbang, kritikan yang membina serta laporan berasaskan fakta serta kebenaran dan tidak tunduk kepada tekanan dan pengaruh mana-mana pihak menjadi pegangan Sinar Daily.

Artikel Berkaitan:

“Dan sebagai peneraju media di sebuah negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam, Sinar Daily juga berharap akan dapat mengetengahkan laporan tentang suara Islam yang progresif kepada dunia,” kata Rozaid.