Olimpik Tokyo 2020 ini berbeza

Azizul berjaya raih pingat perak pada Olimpik Tokyo 2020.
Azizul berjaya raih pingat perak pada Olimpik Tokyo 2020.
A
A
A

JIKA diimbas kembali prestasi kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah tentu bukanlah pencapaian terbaik pasukan negara sepanjang penyertaan negara pada temasya berprestij itu.

Dengan membawa pulang pingat satu pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik angka pungutan pingat dilihat sedikit jatuh berbanding yang diperoleh pada edisi 2016 Rio dengan empat perak dan satu gangsa.

Namun Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria masih menyifatkan pencapaian kontinjen Malaysia di Tokyo 2020 adalah baik walaupun tidak berjaya mencapai sasaran tiga pingat dengan salah satunya emas.

Menurutnya, pujian perlu diberikan kepada para atlet yang bertungkus lumus untuk memberikan persembahan terbaik pada temasya yang berlangsung empat tahun sekali itu dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika kejohanan tersebut.

 Mohamad Norza
Mohamad Norza

“Olimpik Tokyo 2020 ini berbeza dari yang sebelumnya yang mana buat pertama kali temasya ini ditangguhkan kerana penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

“Kita terpaksa berdepan hakikat bahawa banyak proses kelayakan ditangguh atau dibatalkan tetapi kita masih mampu untuk hantar 30 atlet layak di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Kita sedar objektif nak dapatkan pingat emas agak susah kerana para atlet tidak cukup latihan sebab pandemik, mereka juga berada dalam keadaan tertekan mental dan fizikal.

Artikel Berkaitan:

“Apapun kita bersyukur dan berpuas hati dengan atlet kita seperti Datuk Azizulhasni yang menyumbang pingat perak dan pemain badminton negara Aaron dan Wooi Yik walaupun muda berjaya sumbang gangsa,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai persediaan kontinjen Malaysia untuk menamatkan penantian emas Olimpik di Paris 2024, Norza berpendapat ia bukanlah satu mustahil.

Jelasnya, dengan pandemik yang mungkin bertukar ke fasa endemik menjelang 2024 beliau yakin misi tersebut mampu dicapai.

Justeru, beliau berharap semua pihak baik daripada pihak kerajaan dan swasta perlu menyokong dan mendokong kontinjen negara supaya mereka mampu beraksi lebih cemerlang pada temasya Olimpik Paris 2024.

Aaron-Wooi Yikk sumabng pingat gangsa buat negara pada temasya Olimpik Tokyo 2020.
Aaron-Wooi Yikk sumabng pingat gangsa buat negara pada temasya Olimpik Tokyo 2020.

“Tentu sahaja dari segi logik, kita seharusnya ada keputusan lebih baik kerana pandemik Covid-19 sudah selesai, dan mungkin pada waktu itu akan masuk proses endemik.

“Namun ia tertakluk, sokongan dan dokongan kerajaan dan swasta supaya dapat sokongan, kalau gagal dapat sokongan tentu kita tak dapat pulangan.

“Sebab itu kita telah kemukakan keresahan berhubung pemotongan bajet yang besar dari Program Podium, yang akan merencatkan perancangan untuk Paris 2024.

“Sebagai presiden MOM, saya bawa suara persatuan sukan, dan kini sedikit sebanyak menunjukkan perkembangan positif, yang mana apabila kita mesyuarat dengan MSN, mereka bersedia untuk pergi kepada kerajaan, untuk tambah peruntukan dan menambah jumlah atlet yang akan dimasukkan dalam elit mereka,” katanya.