Kedah sasar lapan terbaik MPFL 2022

Pasukan futsal Kedah musim 2022 selepas majlis memperkenalkan pasukan tersebut di sebuah hotel di Alor Setar pada Jumaat.
Pasukan futsal Kedah musim 2022 selepas majlis memperkenalkan pasukan tersebut di sebuah hotel di Alor Setar pada Jumaat.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) meletakkan sasaran pasukan futsalnya muncul lapan terbaik Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2022 termasuk mencipta kejutan mara ke pentas final Piala Futsal Malaysia 2022.

Timbalan Presiden KFA, Datuk Abdul Rahman Abdullah berkata, persiapan awal yang dilakukan dengan bantuan rakan kerjasama, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) juga diharapkan dapat mempersiapkan semua pemain untuk lebih serasi sebelum sepak mula sirkit 1 pada 14 hingga 16 Januari depan.

Beliau berkata, pihaknya berharap semua pihak akan memberikan sokongan padu dan pemain juga berazam untuk menjulang pasukan muncul antara pasukan yang terbaik dalam saingan musim hadapan.

"Pasukan kejurulatihan telah mempersiapkan pasukan yang agak mantap dengan membariskan pemain yang agak terkenal.

"Bajet yang disediakan adalah sebanyak RM500,000 sehingga ke perlawanan akhir untuk memastikan pemain beraksi dengan baik dan memberikan komitmen agar pasukan memperolehi kejayaan.

"Kita mahu pastikan kita berada dalam kedudukan lapan pasukan terbaik liga dan seterusnya melangkah ke final Piala Futsal Malaysia pada musim ini," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel dekat sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Futsal Kedah 2022.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Datuk Syed Yussof Syed Othman, Pengurus KoVra Sdn Bhd, Amar Ashraf Abu Bakar dan Pengurus Jualan Figos, Muhammad Faisal Abd Sukor.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rahman (dua dari kiri) melihat jersi futsal Kedah musim 2022 yang dilancarkan pada Jumaat.
Abdul Rahman (dua dari kiri) melihat jersi futsal Kedah musim 2022 yang dilancarkan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pihaknya turut merakamkan ucapan penghargaan kepada KoVra dan Figos yang menjadi penaja bagi kit rasmi pakaian pasukan Futsal musim 2022.

"Semoga dengan kelengkapan yang dibekalkan ini dapat menyuntik semangat dan meningkat imej pasukan serta nama baik sukan di negeri Kedah," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Futsal Kedah, Muhammad Zuhairi Mohamad Nor berkata, kira-kira 80 peratus pemain adalah muka baharu manakala selebihnya adalah pemain yang dikekalkan daripada musim lalu.

Menurutnya, empat bekas pemain kebangsaan turut memperkuatkan skuadnya musim 2022 iaitu ketua pasukan, Mohammas Afandi Bonyamin, Mohamas Shahmi Abdullah Sani, Safirul Ikhwan Mohd Shazwan dan penjaga gol, Muhammad Nashrul Helmy Rusdi.

"Kita menyambut sasaran yang diletakkan oleh pihak pengurusan dan kita mahu berada dalam lapan pasukan terbaik Liga MPFL 2022 agar dapat layak ke Piala Futsal Malaysia 2022," ujarnya.