Pak Wan mahu buru rekod ke-8 MBOR di Perth

Wan Hashim (kiri) menamatkan kayuhan solo jelajah mengelilingi Semenanjung Malaysia buat kali ketujuh sejurus tiba di pekarangan Bangunan Mabna-MBI Kompleks Kota Darulnaim, pada Jumaat. - Foto Bernama
Wan Hashim (kiri) menamatkan kayuhan solo jelajah mengelilingi Semenanjung Malaysia buat kali ketujuh sejurus tiba di pekarangan Bangunan Mabna-MBI Kompleks Kota Darulnaim, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 75, yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan ingin meneruskan misi kayuhannya untuk memburu rekod kali kelapan The Malaysia Book of Records (MBOR) miliknya di Perth, Australia pada tahun depan.

Wan Hashim menjelaskan, Perth menjadi destinasi pilihannya kerana beliau pernah mengunjungi lokasi itu selama tiga bulan pada 2014 dan mendapati kemudahan jalan raya untuk berbasikal amat menyenangkan selain rakyat di negara itu yang mesra pelancong.

"Misi ini dijangka dilakukan pada awal tahun depan atau pertengahan tahun yang akan mengambil masa sekitar tempoh 60 hari dan saya juga merancang untuk melakukan bersama seorang rakan sekiranya saya mampu mendapatkan penaja.

"Saya akan memulakan misi kayuhan berkenaan sebaik tiba di lapangan terbang di sana," katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Jumaat, selepas berjaya menamatkan kayuhan solonya semalam sejauh 2,317 kilometer (km) dalam tempoh sebulan sekali gus berjaya mencatatkan rekod ketujuh MBOR milik dirinya.

Wan Hashim menunjukkan sijil MBOR selepas menamatkan kayuhan solo jelajah mengelilingi Semenanjung Malaysia buat kali ketujuh di pekarangan Bangunan Mabna-MBI Kompleks Kota Darulnaim, pada Jumaat. - Foto Bernama
Wan Hashim menunjukkan sijil MBOR selepas menamatkan kayuhan solo jelajah mengelilingi Semenanjung Malaysia buat kali ketujuh di pekarangan Bangunan Mabna-MBI Kompleks Kota Darulnaim, pada Jumaat. - Foto Bernama

Ketibaan Wan Hashim disambut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat dan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi.

Mengulas lanjut, bapa kepada enam anak itu berkata, antara cabaran yang dihadapi sebelum menamatkan misi ketujuh itu, beliau terpaksa berdepan dengan hidupan liar iaitu monyet bersaiz besar seakan-akan beruang selain faktor cuaca pada musim tengkujuh.

Wan Hashim mencipta rekod MBOR pertama pada 2014 dengan diiktiraf sebagai ‘Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia’ kerana berjaya membuat kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200 km.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Roslan berkata, pihaknya berhasrat untuk melantik Wan Hashim sebagai rakan strategik sempena Sukan Malaysia (SUKMA) kali ke-22 yang bakal berlangsung di Kelantan sebagai tuan rumah pada 2026.

"Kerajaan negeri telah meluluskan RM2 juta kepada gerakan sekretariat SUKMA dan kita akan mengusulkan perkara ini menerusi gerakan sekretariat itu yang akan bermula tahun depan," katanya. - Bernama