Saari Amri raih jersi kebangsaan acara lelaki elit

Atlet basikal Team Sapura Cycling Mohammad Saari Amri Abd Rasim (jersi biru) meraikan kemenangannya selepas berjaya menjuarai acara Lepas Beramai-ramai Lelaki Elit pada Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan 2021, Bukit Katil, hari ini. - Foto Bernama

A
A
A

PELUMBA Team Sapura Cycling (TSC), Mohamad Saari Amri Abd Rasim mengungguli Kejohanan Kebangsaan Berbasikal Lebuh Raya 2021 sekali gus meraih Jersi Kebangsaan bagi acara lepas beramai-ramai (Lelaki Elit).

Dalam saingan sengit di garisan penamat, atlet berusia 22 tahun itu menewaskan dua lagi pencabar terdekatnya iaitu pelumba PDRM Mohd Elmi Jumari dan Irwandie Lakasek daripada Terengganu Cycling Team (TSG) yang turut mencatat masa sama 4:31:01.

Mohamad Saari Amri, yang menyertai kategori lelaki junior tahun lepas itu juga tidak menyangka memenangi perlumbaan sejauh 180.6 kilometer itu pada penyertaan kali pertama dalam acara berkenaan.

"Saya sememangnya tidak menjangkakan untuk menang pada perlumbaan hari ini sebab hanya ingat untuk menolong rakan sepasukan mengekalkan Jersi Kebangsaan yang dimenangi pada tahun lepas.

"Alhamdulillah terima kasih kepada pasukan yang membantu kemenangan pada kali ini walaupun laluan agak mencabar namun ia tidak menjadi masalah untuk saya harungi ketika memecut dan mendaki jalan berbukit," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Mohamad Saari Amri Abd Rasim mengungguli Kejohanan Kebangsaan Berbasikal Lebuh Raya 2021 sekali gus meraih Jersi Kebangsaan bagi acara lepas beramai-ramai (Lelaki Elit). - Foto Bernama
Mohamad Saari Amri Abd Rasim mengungguli Kejohanan Kebangsaan Berbasikal Lebuh Raya 2021 sekali gus meraih Jersi Kebangsaan bagi acara lepas beramai-ramai (Lelaki Elit). - Foto Bernama

Mohamad Saari Amri yang berasal dari Mersing, Johor itu berkata, walaupun melihat cabaran pasukannya untuk mempertahankan Jersi Kebangsaan agak sukar, dengan latihan dan kerja keras bersama rakan-rakan berjaya merealisasikannya.

Kejohanan yang berakhir pada Jumaat bakal menyaksikan dua lagi acara iaitu lepas beramai-ramai lelaki junior (129 kilometer) dan lepas beramai-ramai wanita junior (77.4 kilometer). - Bernama

Artikel Berkaitan: