Lebih ramai calon muda MCA dalam PRU15

Ka Siong (tengah) berbincang mengenai penganjuran Festival Perarakan Chingay 2021 selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor, Jalan Kebun Teh, Johor Bahru pada Khamis.
Ka Siong (tengah) berbincang mengenai penganjuran Festival Perarakan Chingay 2021 selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor, Jalan Kebun Teh, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - MCA tidak menolak untuk meletakkan lebih ramai calon muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, calon muda itu perlu mempunyai pencapaian atau sesuatu yang boleh menawan hati rakyat.

Menurutnya, jika calon muda berkenaan tidak memiliki sifat atau keistimewaan itu, maka parti perlu melakukan percaturan yang sewajarnya.

"Setakat ini kita belum muktamadkan lagi (senarai calon muda) dan siapa (yang akan menjadi calon muda tersebut), sampai masa kita akan

beritahu. Kita tahu apabila Undi18 (dilaksanakan akan berlaku) pertambahan undi yang ramai. Jadi secara automatik kena permudakan usia calon.

"Kita juga tidak kekurang orang-orang (calon-calon) muda, selepas ini secara realistiknya mungkin lebih ramai orang mudalah (lebih ramai calon muda MCA) berbanding dahulu.

"Kita kena lihat di setiap kawasan bagaimana ciri-ciri pengundi, apa kegemaran mereka dan apa yang boleh mendampingi mereka, kita kena fikir daripada segi percaturan dan taktik kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor, Jalan Kebun Teh di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, kesan daripada Undi18 nanti beberapa kawasan contohnya Parlimen Iskandar Puteri akan menyaksikan pertambahan seramai 300,000 pengundi manakala Parlimen Tebrau 290,000 pengundi.

"Ini merupakan tekanan besar, kawasan sedemikian perlu ada strategi dan percaturan lebih baik dan kita rasa pendekatan baharu perlu digunakan untuk persiapkan calon daripada segi mentaliti mereka.

"MCA mesti letak seberapa ramai calon muda yang berkebolehan, berwibawa dan yang dikenali masyarakat. Calon tua ada sedikit 'disadvantage' sebab orang dah kenal dan tahu kelemahan mereka," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, kerja-kerja penaziran parti itu bagi menghadapi PRU15 akan bermula di Johor dan semua jentera parti di seluruh negara juga telah telah diarahkan untuk membuat persiapan bagi menghadapi PRU yang boleh diadakan bila-bila masa.

"Tahun 2022, sudah empat tahun selepas PRU-14 diadakan sejak Mei 2018 dan PRU akan datang mungkin boleh diadakan dalam tempoh maksimum 18 bulan akan datang. Jadi dalam keadaan ini kita perlu bersiap siaga.

"Kita akan mulakan kerja-kerja penaziran di Johor terlebih dahulu, iaitu kerja-kerja persiapan oleh satu pasukan khas daripada MCA Pusat untuk melihat di mana kelemahan agar boleh diperbaiki dan diaudit," jelasnya.

MCA katanya, memilih Johor sebagai negeri permulaan kerana negeri tersebut merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan pihaknya berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan MCA dalam PRU15 nanti.