Elaun bulanan ketua kampung di Labuan naik mulai Januari

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

LABUAN - Elaun bulanan kesemua 27 ketua kampung di pulau bebas cukai ini akan dinaikkan kepada RM1,000 daripada RM700 sebelum ini bermula Januari 2022, kata Senator, Datuk Bashir Alias.

Kenaikan RM300 itu diluluskan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim semasa mesyuarat di sini baru-baru ini.

Bashir yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan berkata, kerajaan mengiktiraf kepentingan dan sumbangan pemimpin masyarakat dan ketua kampung dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada penduduk kampung.

“Kerajaan mengharapkan ketua masyarakat dan ketua kampung untuk terus menjadi ejen perubahan selain memainkan peranan aktif dalam pembangunan sosioekonomi kawasan masing-masing,” katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Program Budaya Norma Baharu bagi Ketua-ketua Majlis Perwakilan Penduduk dan Ketua Kampung di Wisma Perbadanan Labuan di sini pada Khamis.

Bashir berkata, kenaikan itu bagi mengurangkan kos menjalankan urusan rasmi dengan agensi kerajaan berkaitan isu penduduk kampung.

Katanya, perkhidmatan pemimpin Majlis Perwakilan Penduduk Labuan, yang akan tamat pada Khamis telah dilanjutkan sehingga Jun tahun depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: