Jumlah mangsa banjir tiga negeri berkurang, Kelantan meningkat

Penduduk, Rohani Abdul Karim menyiang ikan di tangga rumahnya yang masih digenangi air pada Rabu. - Foto Bernama
Penduduk, Rohani Abdul Karim menyiang ikan di tangga rumahnya yang masih digenangi air pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir secara keseluruhan bertambah baik dengan jumlah mangsa banjir di tiga negeri iaitu Melaka, Pahang, dan Selangor mencatatkan penurunan tengah hari Khamis.

Bagaimanapun, Kelantan yang diramal banjir bermula 8 malam Khamis menunjukkan pertambahan jumlah mangsa apabila seramai 510 orang daripada 145 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pada tengah hari berbanding 31 orang, pagi Khamis.

Menurut aplikasi Info Bencana JKM, lapan PPS dibuka di Kelantan melibatkan tujuh di Jeli dan satu di Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, hanya satu sungai mencatatkan paras amaran iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah.

Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa di negeri itu turun kepada 977 orang daripada 244 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS setakat tengah hari berbanding 2,281 orang daripada 563 keluarga di 13 PPS pagi Khamis.

Polis Selangor memaklumkan, tiga jalan masih ditutup setakat 11.30 pagi untuk laluan kenderaan iaitu di Jambatan FT 31 Dengkil - Banting dan Jalan Genting Peras – Kuala Klawang kerana dinaiki air banjir selain jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang rosak akibat banjir.

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan hujan di satu dua tempat akan berlaku di Selangor bermula pagi hingga malam Khamis.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir pada tengah hari Khamis berkurangan sedikit berbanding pagi kepada 5,459 orang di 43 PPS, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel Berkaitan:

Mangsa banjir paling ramai direkodkan di Temerloh diikuti Pekan, Bentong, Kuantan dan Maran.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang melaporkan enam lokasi jalan masih ditutup iaitu Jalan Southern Loop di Bentong; Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut); Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran); dan Jalan Ulu Dong (Raub).

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir terus turun kepada lapan orang daripada dua keluarga setakat 12 tengah hari Khamis berbanding 16 orang daripada empat keluarga pada 8 pagi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa terlibat masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Benteng di Jasin. - Bernama