Perlu model perniagaan baharu atasi harga barang naik

Mohd Zayad Md Ismail
Mohd Zayad Md Ismail
A
A
A

ALOR SETAR - Model perniagaan baharu diperlukan bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang yang berpunca daripada manipulasi orang tengah dalam rantaian bekalan.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada peniaga yang bergelut untuk menetapkan harga jualan kepada pengguna.

Beliau berkata, kegelisahan peniaga itu berasas berikutan trend kenaikan yang mendadak melebihi paras normal.

"Statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan trend kenaikan ini yang mana Indeks Harga Pengguna telah meningkat 3.3 peratus kepada 124.0 peratus pada November 2021 daripada 120.0 peratus pada tahun lalu.

"Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan meningkat sebanyak 12.3 peratus pada September 2021 berbanding sembilan peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, situasi itu dibimbangi akan menyebabkan peningkatan inflasi dalam masa terdekat dan tentunya akan membebankan lagi peniaga dan pengguna akhir.

Menurutnya, antara faktor kenaikan harga barang adalah manipulasi orang tengah atau 'kartel' dalam mempengaruhi harga pasaran yang sememangnya sudah diketahui umum dan sudah berakar umbi dalam sistem perniagaan.

"Apa yang dikesali adalah kartel ini dilihat seolah-olah kebal, sukar disentuh dan sangat berpengaruh dalam menentukan harga di pasaran hingga dikatakan mengatasi kuasa kerajaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, harga barang terus meningkat saban hari walaupun kerajaan menegaskan bahawa langkah menangani isu berkenaan diambil melalui agensi-agensi tertentu.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan model rantaian bekalan yang digunakan ketika ini diubah kerana sektor perniagaan seperti usahawan mikro serta industri kecil dan sederhana (IKS) dilihat tidak lagi berdaya maju.

Jelasnya, pengenalan model perniagaan baharu yang inklusif merupakan salah satu inisiatif membantu mempercepatkan pemulihan terutama industri IKS selain pendekatan lama seperti menawarkan bantuan subsidi, pinjaman kewangan dan bimbingan perniagaan.

"Model baharu perniagaan juga boleh merangkumi pengenalan mekanisme baharu oleh agensi-agensi kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian dengan membuang dasar-dasar lama yang tidak memberi kebaikan kepada rakyat," katanya.

Tambah Mohd Zayad, sistem pasaran bebas juga perlu dipantau dengan memastikan setiap rantaian perniagaan dijalankan dengan efisien dan telus.