Moratorium untuk usahawan MEDAC terjejas banjir

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju memberikan moratorium kepada usahawan mikro dan informal mendapat pembiayaan daripada agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang terjejas akibat banjir.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, ramai dalam kalangan usahawan terkesan akibat banjir yang melanda negara.

Menurutnya, buat permulaan, moratorium diberikan kepada golongan usahawan mikro dan informal yang melibatkan pembiayaan di bawah Tekun Nasional (Tekun) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

"Tekun memberi moratorium kepada peminjam yang terkesan dengan banjir selama enam bulan dan memperuntukkan sejumlah RM30 juta untuk pembiayaan usahawan mikro dan informal akibat bencana itu.

"Marotorium ini akan memberi manafaat kepada kira-kira 4,000 usahawan Tekun berkuat kuasa serta merta," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, bagi AIM pula, agensi itu memberi moratorium secara automatik kepada Sahabat AIM bermula 20 Disember lalu sehingga 31 Januari tahun depan.

"Sahabat AIM yang terkesan boleh membuat permohonan untuk menangguh bayar balik pinjaman sebanyak empat kali dengan maksimum tempoh penangguhan selama setahun dan membuat penjadualan balik pinjaman sehingga tiga tahun," ujar beliau.

Selain itu, katanya, Sahabat AIM yang terlibat dengan banjir juga akan menerima bantuan Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) serta projek terlibat banjir masing-masing sebanyak RM300.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya terlibat dalam kedua-duanya, mereka layak menerima bantuan sebanyak RM600 dan memberi manfaat kepada 9, 200 Sahabat AIM," katanya.

Beliau memberitahu, insiatif itu sebagai usaha membantu kumpulan Keluarga Malaysia yang terjejas banjir.