Jalan kampung, jambatan di luar bandar akan segera dibaik pulih

Mahdzir (kanan) dan Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias bersama barangan yang terkumpul untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di daerah Jelebu ketika melawat pusat pengumpulan dan pengagihan barangan, hari ini. -Foto Bernama
Mahdzir (kanan) dan Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias bersama barangan yang terkumpul untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di daerah Jelebu ketika melawat pusat pengumpulan dan pengagihan barangan, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

JELEBU - Kerja membaik pulih infrastruktur termasuk jalan kampung, jambatan serta kemudahan awam seperti surau dan longkang di bawah kelolaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang rosak akibat banjir di negeri terlibat akan disegerakan.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara kawasan luar bandar yang mengalami kerosakan teruk adalah di Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Kawasan luar bandar di Pahang, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan terlibat banjir menghadapi kerosakan yang banyak terutama jalan kampung...mengambil contoh di Jelebu, banyak tempat rosak dan kita akan sediakan peruntukan di peringkat kementerian untuk membaik pulih kerosakan.

“Pihak saya sedang menunggu maklumat penuh daripada Jabatan Kerja Raya di setiap negeri mengenai kos yang diperlukan untuk memperbaiki jalan raya rosak tetapi kerja immediate, boleh disegerakan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir di Pejabat UMNO Jelebu, Simpang Pertang pada Selasa.

Sebelum itu, beliau meninjau beberapa jalan kampung yang rosak teruk di Kampung Renal dan Kampung Kemin.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, pula berkata, terdapat 24 jambatan di daerah itu yang rosak teruk akibat banjir dan perlu diperbaiki segera bagi memudahkan penduduk.

Ujar beliau, jumlah mangsa banjir di Jelebu ialah 1,476 orang dari 36 kampung. - Bernama

Artikel Berkaitan: