[VIDEO] Kerajaan pertimbang cuti khas penjawat awam jadi sukarelawan

Sukarelawan membawa 'water jet' untuk membersih rumah penduduk di Taman Perumahan Bukit Rangin pada Ahad. - Foto Bernama
Sukarelawan membawa 'water jet' untuk membersih rumah penduduk di Taman Perumahan Bukit Rangin pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

TEMERLOH - Kerajaan mempertimbangkan cuti khas kepada penjawat awam yang terlibat sebagai sukarelawan pascabanjir, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, pemberian cuti itu akan membolehkan lebih ramai penjawat awam turun membantu operasi pembersihan selepas banjir terutamanya di kawasan yang teruk terjejas dan memerlukan ramai tenaga kerja.

"Ramai (penjawat awam) yang ingin menjadi sukarelawan membantu mereka yang terkesan tapi kadang-kadang mereka tiada saluran sesuai selain terikat dengan peraturan seperti tidak boleh keluar pada waktu pejabat," katanya.

Mohd Zuki berkata demikian kepada Bernama selepas menyerahkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 132 ketua keluarga mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Tualang di sini pada Selasa.

Hadir sama Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Mohd Sharkar Shamsuddin.

Menurut Mohd Zuki, pemberian cuti khas itu adalah sama seperti yang diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa semalam, iaitu cuti tanpa rekod diberikan kepada pegawai Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan agensi yang menjadi sukarelawan Program Bantu Hingga Selesai anjuran kementerian itu.

Beliau dalam pada itu berkata, kementerian-kementerian juga akan digerakkan untuk membantu operasi pascabanjir bagi mempercepatkan kerja-kerja yang sedang dilaksanakan. - Bernama

Artikel Berkaitan: