Mayat wanita terapung di perairan Sekinchan

Foto hiasan.
Foto hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Mayat seorang wanita berusia lingkungan 30-an ditemukan terapung di perairan Sekinchan dekat sini pada Isnin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, Pusat Operasi Maritim Selangor menerima maklumat berkaitan penemuan itu daripada Stesen Maritim Udara Subang (SUMS) pada kira-kira 9.55 pagi.

“Bot Perkasa 36 yang sedang dalam operasi telah diarahkan ke lokasi untuk mengesan dan mengambil mayat.

“Lebih kurang 1.15 tengah hari, bot tersebut telah menemukan mayat itu yang lengkap berpakaian berwarna gelap,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Rosli berkata, mayat tanpa identiti itu dibawa ke Jeti Nelayan Sekinchan untuk diserahkan kepada polis bagi siasatan lanjut dan orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Maritim Selangor di talian 03-21760627.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan digegaskan membantu mengangkat mayat tersebut dari bot dan diserahkan kepada polis.- Bernama

Artikel Berkaitan: