Sekadar cerita rekaan: Mukhriz

 Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan dakwaan beliau akan tersungkur buat kali kedua di Kedah, hanyalah cerita rekaan semata-mata.

Menurut Pengerusi PH Kedah itu, kenyataan dibuat Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor kononnya akan berlaku undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau oleh rakan komponen, Amanah, PKR dan DAP, sekadar andaian beliau sendiri.

Perang mulut antara kedua-dua pemimpin itu bermula sejak Isnin, selepas Mukhriz menyindir usaha Pas dan UMNO untuk merampas Kedah dan Perak melalui kerajaan perpaduan, di lobi Parlimen.

“Itu semua rekaan semata-mata, bangkitkan perkara bukan-bukan. Saya terpaksa jawab secara sinis, mungkin PH Kedah dalam keadaan kukuh, kerana sehingga kini kesepakatan kalangan parti komponen di tahap tinggi,” katanya, selepas melancarkan kempen pembayaran hasil kad MyDebit, di Pejabat Tanah dan Galian Kedah, hari ini.

Mukhriz bagaimana pun tetap dengan pendiriannya sebelum ini yang mendakwa, pembentukan kerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO hanya akan menguntungkan Pas di Kedah.

“Rakyat nak tahu apa kerajaan perpaduan ini. Untuk situasi di Kedah, konsep itu hanya akan untungkan Pas dan merugikan UMNO,” katanya.

Menurut Mukhriz, beliau terpaksa memperjelaskan maksud sebenar kenyataan beliau sebelum ini setelah Pas melenting dengan pandangan beliau.

“Isu kerajaan perpaduan itu saya jawab di Parlimen, Muhammad Sanusi melenting, jadi saya terpaksa jelaskan maksud sebenar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau tidak lagi mahu memanjangkan isu berkenaan dan berharap perkara itu selesai selepas penjelasan terbabit.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi menempelak Mukhriz yang didakwa tidak memahami konsep kerajaan perpaduan dan kerajaan campuran.

Ketua Pembangkang Kedah itu turut memberi gambaran kononnya Amanah, PKR dan DAP bakal melakukan undi tidak percaya terhadap Mukhriz.

Tambahnya, jika situasi itu terjadi, mungkin Mukhriz akan memahami erti kerajaan perpaduan dengan meminta pertolongan UMNO dan Pas untuk membentuk kerajaan negeri, bagi mengelak dirinya jatuh buat kali kedua hasil gerakan kerajaannya sendiri.