Dr Badrul Hisham dilantik Ketua Eksekutif IRDA

Dr Badrul Hisham Kassim - Foto BPENJ Johor
Dr Badrul Hisham Kassim - Foto BPENJ Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr Badrul Hisham Kassim dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang baharu berkuat kuasa 1 Januari, 2022, menggantikan Datuk Ismail Ibrahim yang tamat perkhidmatan selepas 12 tahun menerajui agensi tersebut.

IRDA dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, pelantikan tersebut dipersetujui menerusi mesyuarat Ahli-Ahli Pihak Berkuasa IRDA yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, baru-baru ini.

Badrul Hisham, 54, merupakan calon paling sesuai untuk menerajui agensi berkenaan kerana memiliki pengalaman dalam pentadbiran negeri termasuk di Bahagian Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPENJ), pentadbiran tanah dan pihak berkuasa tempatan serta penglibatan dengan jabatan Persekutuan seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan (MoF),

"Beliau juga merupakan seorang Pegawai Tadbir Negeri Johor sejak 1992 di mana pembabitannya dalam Iskandar Malaysia bermula sebelum penubuhan IRDA lagi.

"Pada 2006, beliau telah dipinjamkan dari UPEN Johor ke Khazanah Nasional Bhd bagi tujuan perancangan untuk penubuhan Iskandar Malaysia.

“Bermula dari situlah, beliau telah terlibat secara langsung dalam menzahirkan Rancangan Pembangunan Komprehensif (CDP) IRDA 2006 – 2025 dan Deraf Rang Undang-Undang IRDA,” kata kenyataan itu.

Selepas kembali ke UPENJ, Badrul Hisham dilantik sebagai Pesuruhjaya Negeri IRDA yang pertama bagi menjalankan tugas menyelaras urusan dengan jabatan dan agensi negeri termasuk kelulusan yang diperlukan di peringkat negeri di mana jawatan tersebut disandang dari 2007 sehingga 2014.

“Sepanjang tempoh itu, Badrul Hisham terlibat dalam Jawatankuasa Bersama Menteri atau Joint Ministerial Committee (JMC) antara Malaysia dan Singapura mengenai Iskandar Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, beliau pernah memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (sekarang dikenali sebagai Majlis Bandaraya Iskandar Puteri), salah satu Pihak Berkuasa Tempatan dalam Iskandar Malaysia,” kata IRDA.

Badrul Hisham merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LL.B.) daripada Staffordshire Polytechnic, England; Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) daripada University of Leicester, England dan Ijazah Kedoktoron Ph.D. daripada University of Glamorgan, Wales dalam bidang pengurusan dan penswastaan air.

Beliau juga pernah menghadiri kursus eksekutif di Harvard Kennedy School di Amerika Syarikat serta pernah dilantik sebagai Profesor Adjung oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2016.

Sementara itu, Ahli Pihak Berkuasa, pengurusan kanan dan seluruh warga IRDA merakamkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan dan khidmat Ismail sepanjang menerajui agensi itu. - Bernama