Tokoh ulama ucap 'jumpa di syurga' sebelum maut nahas

Hantaran di Facebook mengenai kematian tokoh agama, Syeikh Yahya Ashaari yang meninggal dunia dalam kemalangan lima kenderaan di Pendang. - Foto media sosial
Hantaran di Facebook mengenai kematian tokoh agama, Syeikh Yahya Ashaari yang meninggal dunia dalam kemalangan lima kenderaan di Pendang. - Foto media sosial
A
A
A

PENDANG - Tokoh ulama, Syeikh Yahya Ashaari, 65, dilaporkan sempat bertemu tiga ulama dari Yaman sebelum terkorban dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Jalan Sungai Jagung, Padang Pusing, Pendang pada jam 4.40 petang, Ahad.

Melalui hantaran akaun media sosial Facebook yang tular menyebut, dalam pertemuan terbabit, Allahyarham Syeikh Yahya sempat meninggalkan ucapan selamat tinggal dengan kata-kata terakhir 'jumpa di syurga nanti'.

Hantaran yang tular turut melaporkan, satu jam sebelum meninggal dunia, Allahyarham bertemu Syeikh Mahmoud Al-Wosabi, Sheikh Mukhtar Jamil dan Syeikh Jamil Melhi Rubadi sebelum bergerak pulang ke rumah.

"Sebelum pulang, mereka mengucapkan salam dan jumpa lagi, namun dibalas Yahya yang juga merupakan tenaga pengajar Kolej Islam Darul Ulum, Pokok Sena, dengan jawapan 'jumpa di syurga nanti'," menurut hantaran tersebut.

Bagaimanapun, Yahya yang mendapat pendidikan awal di Patani dan melanjutkan pengajian ke Makkah dilaporkan meninggal dunia dalam nahas terbabit.

Syeikh Yahya Ashaari dipercayai bertemu tiga ulama dari Yaman sebelum terbabit dalam kemalangan. - Foto media sosial
Syeikh Yahya Ashaari dipercayai bertemu tiga ulama dari Yaman sebelum terbabit dalam kemalangan. - Foto media sosial

Sementara itu, Ketua Polis Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah Perodua Viva, Proton Saga, Toyota Hilux, Perodua Myvi dan Proton Wira.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu Perodua Viva gagal memotong kenderaan di hadapan sebelum bertembung dengan kenderaan lain.

Artikel Berkaitan:

"Akibat pertembungan tersebut, Perodua Viva telah terseret dan terbakar menyebabkan pemandunya meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, kemalangan menyebabkan seorang maut, dua cedera ringan dan sembilan yang lain tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.