AEON BiG bantu mangsa banjir

Kerja-kerja pembersihan Pasar Raya Besar AEON BiG Shah Alam dilakukan oleh kakitangan secara berpasukan.
Kerja-kerja pembersihan Pasar Raya Besar AEON BiG Shah Alam dilakukan oleh kakitangan secara berpasukan.
A
A
A

SHAH ALAM - Prihatin akan nasib mangsa banjir, AEON BiG Malaysia Sdn Bhd (AEON BiG) tampil berganding bahu bersama komuniti menyalurkan bantuan selain membuka semula Pasar Raya Besar AEON BiG Shah Alam di Seksyen 23 di sini, yang turut terjejas dengan bencana itu bagi memudahkan mangsa banjir mendapatkan barangan keperluan.

Ketua AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, dalam membantu mereka yang terkesan, pihak pengurusan memastikan bekalan barangan keperluan di kesemua rangkaian pasar raya besar AEON BiG dan pasar raya AEON di seluruh negara mencukupi.

"Walaupun AEON BiG Shah Alam turut terjejas akibat banjir dan terpaksa ditutup tetapi rangkaian pasar raya besar AEON BiG, AEON serta MaxValu yang lain masih beroperasi.

"Kami membekalkan barangan keperluan ini kepada badan bukan kerajaan (NGO), organisasi swasta dan badan korporat yang membeli untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

“Kami turut memberikan diskaun istimewa tanpa terlalu berkira tentang keuntungan," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, untuk langkah seterusnya pihaknya akan memastikan stok barangan elektrik yang dijual mencukupi mengambil kira keadaan mangsa banjir yang memerlukan peralatan dalam rumah yang rosak akibat banjir.

AEON menerusi Yayasan AEON Malaysia (MAF) juga menggerakkan bantuan kepada komuniti yang terjejas dengan mendapatkan barang keperluan di rangkaian pasar raya besar AEON BiG dan pasar raya AEON sebelum mengagihkannya sejak Ahad lalu. Kami membantu menerusi keseluruhan ekosistem.

Artikel Berkaitan:

Kakitangan Pasar Raya Besar AEON BiG Shah Alam turut menyisihbersihkan barangan dalam pasar raya berkenaan.
Kakitangan Pasar Raya Besar AEON BiG Shah Alam turut menyisihbersihkan barangan dalam pasar raya berkenaan.

"Kami juga berusaha untuk membuka pasar raya besar AEON BiG Shah Alam secepat mungkin bagi memudahkan mangsa banjir di sekitarnya mendapatkan barangan keperluan," katanya.

Terjejas

Ketika bencana banjir besar yang melanda negara pada 18 Disember lalu, AEON BiG Shah Alam yang terletak berdekatan Taman Seri Muda turut terjejas dan ditenggelami air sedalam kira-kira 0.9 meter atau tiga kaki.

Kerja-kerja pembersihan pasar raya besar itu giat dijalankan sejak Selasa lalu dan ia dijangkakan dapat dibuka semula minggu ini.

Menurut beliau, banjir luar biasa itu turut menyebabkan seramai 26 kakitangan dan rakan niaga (penyewa) AEON BiG Shah Alam terkandas di dalam bangunan itu selama 24 jam.

"Air naik terlalu pantas menyebabkan mangsa terperangkap di tempat letak kereta hampir 10 jam. Demi keselamatan, mereka diminta meninggalkan kenderaan masing-masing dan masuk berlindung ke dalam bangunan iaitu di aras 'Mezzanine' (kedudukan lantai tinggi).

"Sekitar jam 5 pagi keesokannya, paras air naik ke 0.9 meter. Kakitangan dan rakan niaga terus berlindung dan makan makanan di dalam pasar raya serta hidupkan lampu menggunakan generator," ujarnya.

Pasar Raya Besar AEON BiG Shah Alam di Seksyen 23 mengalami kerugian lebih RM5 juta akibat banjir besar.
Pasar Raya Besar AEON BiG Shah Alam di Seksyen 23 mengalami kerugian lebih RM5 juta akibat banjir besar.

Kesemua mangsa berjaya diselamatkan kira-kira jam 6.30 petang Ahad dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ketika paras air terus mencatatkan peningkatan di kawasan Seksyen 23 dan Taman Sri Muda sebelum air didapati surut pada Isnin.

Kerugian

Menurut Sheikh Farouk, AEON BiG Shah Alam dianggarkan mengalami kerugian lebih RM5 juta membabitkan inventori dan peralatan di dalam pasar raya itu.

Jelasnya, nilai kerugian tidak termasuk kehilangan jualan sepanjang tujuh hari pasar raya itu yang terpaksa ditutup selain program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dirancang dilancarkan pada Sabtu lalu di pasar raya berkenaan melibatkan 50 pelajar sekitar Shah Alam terpaksa ditangguhkan.

Namun katanya, di sebalik musibah mereka mendapat idea untuk mengadakan program sama di AEON BiG Klang untuk penduduk yang terjejas teruk di kawasan tersebut.

Secara keseluruhannya, seramai 319 kakitangan AEON turut terjejas, 103 daripadanya ialah kakitangan AEON BiG.

"Semua kakitangan yang terjejas diberikan cuti antara lima hingga tujuh hari bagi mengembalikan semula semangat dan kekuatan mereka. Bagi yang terperangkap dan terjejas teruk akan diberikan sesi kaunseling secara perseorangan.

“Ini menjadi pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan buat 26 yang terperangkap dalam AEON BiG Shah Alam di mana sembilan daripadanya adalah kakitangan kami. Paling penting kejadian ini mengajar kita terus prihatin terhadap satu sama lain dan cekal untuk bangkit kembali meneruskan kehidupan,” katanya.

Baru-baru ini AEON BiG Batu Pahat, AEON BiG Bukit Minyak, AEON BiG Kuantan, AEON BiG Mid Valley dan AEON BiG Putrajaya telah menerima Anugerah Kedai Harga Patut Kategori Pasar Raya Besar oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Anugerah ini telah diperkenalkan oleh KPDNHEP semenjak tahun 2003 untuk mengenal pasti, menilai dan mengiktiraf premis perniagaan yang menjual produk dan perkhidmatan berkualiti pada harga yang berpatutan.

AEON BiG mengendalikan 21 pasar raya besar di seluruh negara menawarkan pelbagai pilihan dengan nilai yang hebat. Berpandukan kepada falsafah “Pelanggan Didahulukan”, pemahaman mendalam mengenai keperluan pasaran sasaran, dibantu oleh campuran produk yang optimum, AEON BiG beriltizam untuk melangkaui jangkaan pelanggan dan meningkatkan pengalaman mereka setiap kali mereka berbelanja di rangkaian AEON BiG.