Penjawat awam ditahan rogol, samun dua beradik

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Seorang penjawat awam ditahan selepas didakwa merogol dan menyamun dua beradik perempuan di sebuah kawasan belukar di Jalan Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar Manjung pada Selasa lalu.

Kejadian sekitar jam 12.05 tengah malam itu berlaku ketika mangsa berusia 20 dan 37 tahun melalui lokasi berkenaan untuk pulang ke rumah dengan menunggang motosikal.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika kejadian, suspek berusia 21 tahun yang juga menunggang motosikal telah menahan dua beradik berkenaan.

Menurutnya, dengan bersenjatakan pisau, suspek bertindak mengugut untuk membunuh kedua-dua mangsa sekiranya tidak mengikut arahannya sebelum merogol mangsa.

"Polis telah menerima laporan kejadian rogol itu pada jam 2.38 pagi, 21 Disember lalu.

"Bertindak atas maklumat diberikan, anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak berjaya mengesan dan menangkap suspek di sebuah lokasi di Ipoh sekitar jam 2.20 petang pada Sabtu.

"Dalam tangkapan itu, polis turut merampas pakaian dan kenderaan yang digunakan suspek ketika kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan bertugas sebagai penjawat awam di Kota Samarahan, Sarawak, namun ketika kejadian dia sedang bercuti dan berada di daerah Manjung.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis telah mendapatkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 31 Disember ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun," katanya.