177 kawasan banjir di Selangor telah surut

Kerja-kerja pembersihan barangan rumah yang telah rosak akibat banjir sedang giat dilakukan ketika tinjauan di sekitar Taman Sri Muda Seksyen 25 hari ini. -Foto Bernama
Kerja-kerja pembersihan barangan rumah yang telah rosak akibat banjir sedang giat dilakukan ketika tinjauan di sekitar Taman Sri Muda Seksyen 25 hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 177 kawasan yang dilanda banjir di Selangor mula surut setakat jam 8 malam pada Sabtu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, daripada sejumlah 186 kawasan yang terlibat dalam banjir di negeri tersebut, hanya sembilan kawasan yang masih mengalami banjir termenung iaitu dua kawasan di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang dan Kampung Labohan Dagang di Kuala Langat.

Menurutnya, lokasi lain yang masih dilanda banjir termenung ialah di Kampung Bukit Hijau, Lorong Pisang, Jalan Lintang 1 dan Kampung Sungai Sireh di Kuala Selangor, manakala tiga lagi kawasan di Gombak dan Sabak Bernam.

"Enam unit pam beroperasi penuh di Kampung Bukit Hijau dan sekitarnya, enam unit pam di Kampung Ijok, lima unit pam di Lorong Pisang dan sekitarnya serta dua unit pam di Kunci Air Buang Tanjong Karang," katanya dalam satu kenyataan pada malam Sabtu.

Dalam pada itu, Izham berkata, sebanyak 92.82 peratus daripada 1,407 aset Tenaga Nasional Berhad (TNB) di seluruh Selangor yang terjejas akibat banjir berjaya dipulihkan, manakala selebihnya sedang diperbaiki.

Selain itu, sebanyak 259 menara telekomunikasi daripada 342 menara yang terjejas akibat banjir mula beroperasi sepenuhnya, manakala 108 menara masih dalam peringkat baik pulih.

"Lokasi yang paling banyak terjejas ialah daerah Klang sebanyak 21 kawasan, Petaling (35) dan Sepang (21)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Izham berkata, sebanyak lapan empangan air di Selangor iaitu di Batu, Semenyih, Langat, Klang Gates, Sungai Selangor, Tasik Subang, Kolam Takungan Sungai Labu dan Sungai Tinggi berada dalam keadaan terkawal.

Artikel Berkaitan:

Izham Hashim
Izham Hashim

Katanya, sebanyak enam empangan iaitu Batu, Semenyih, Klang Gates, Tasik Subang, Sungai Selangor dan Sungai Tinggi menunjukkan trend menurun, kecuali dua empangan iaitu Langat dan Sungai Labu masih bertahan.

"Terdapat dua empangan melaksanakan pelepasan air iaitu di Batu dan Klang Gates.

"Loji rawatan air (LRA) di Semenyih, Sungai Langat, Langat 2, dan Cheras Batu 11 juga beroperasi seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Izham turut memaklumkan sebanyak 284 jalan yang terdiri dari Jalan Persekutuan dan Jalan negeri di seluruh Selangor terjejas akibat banjir.

Izham berkata, sebanyak enam buah jalan Persekutuan di Petaling, Sepang, Gombak, Hulu Langat dan Hulu Selangor ditutup manakala lima jalan negeri di Kuala Selangor dan Hulu Langat juga masih ditutup.

Tambahnya, terdapat 38 kejadian melibatkan cerun dan tanah runtuh di Selangor dengan melibatkan tujuh kes kritikal di kawasan-kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kawasan tersebut ialah Taman Nusa, Subang di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA); Apartmen Teratai, Selayang, Jalan Melati 7, Taman Seri Melati dan Kampung Sepakat, Batu 16, Rawang di bawah Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

"Kawasan lain ialah Jalan Bunga Anggerik, Taman Dataran Ukay dan Jalan 45B, Bukit D, Kampung Cheras Baru di bawah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Jalan Haji Abdul Latif, Kampung Bukit Kapar di bawah Majlis Perbandaran Klang (MPK)," katanya.