Garuda langgar Singa di Stadium Nasional

Antara aksi menarik perlawanan Singapura menentang Indonesia dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Nasional. - Foto AFF
Antara aksi menarik perlawanan Singapura menentang Indonesia dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Nasional. - Foto AFF
A
A
A

INDONESIA membuktikan penampilan skuad Garuda itu dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 bukan 'omong-omong kosong' apabila mara ke final setelah menyingkirkan Singapura 5-3 secara agregat pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional pada Sabtu.

Anak buah Shin Tae-Yong bermula garang apabila Ezra Walian meletakkan skuad Garuda itu di depan pada minit ke-10, sebelum Singapura meledak gol penyamaan menerusi Song Ui Yong di penghujung babak pertama selepas skuad Singa kehilangan Safuwan Baharudin yang dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-45.

Pada babak kedua Singapura bangkit untuk memimpin perlawanan menerusi Shahdan Sulaiman pada minit ke-75, selepas skuad Singa kehilangan seorang lagi pemain, Irfan Fandi yang dilayangkan kad merah kedua pada minit ke-66.

Indonesia yang tidak mengalah kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan Pratama Arhan di minit ke-87, bagi memastikan perlawanan diheret ke masa tambahan.

Indonesia memanfaatkan sepenuh kekurangan pemain Singapura apabila mengasak menyaksikan gol terhasil daripada jaringan sendiri pemain tuan rumah Shawal Anuar (91') sebelum Egy Maulana Vikri (107') melabuh tirai kemenangan bergaya 4-2 skuad Garuda selepas terikat 1-1 pada perlawanan pertama.

Untuk rekod, Singapura kehilangan seorang lagi pemain pada penghujung masa tambahan selepas penjaga gol, Hassan Sunny dilayangkan kad merah menyaksikan penyerang, Ikhsan Fandi memikul tanggungjawab sebagai penjaga gol gantian.

Artikel Berkaitan: