Warga emas rugi lebih setengah juta diperdaya Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas di Kluang kerugian RM697,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa dirinya telah mendaftarkan sebuah syarikat yang mempunyai tunggakan bayaran cukai, minggu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Amran Md Jusin berkata, mangsa, jurujual kereta wanita berusia 74 tahun itu menerima panggilan telefon dari Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 16 Disember lalu yang mendakwa syarikat tersebut mempunyai tunggakan bayaran cukai berjumlah RM55,800 sebelum disambungkan ke Bukit Aman.

"Mangsa kemudian telah bercakap dengan Pengarah Bukit Aman 'Datuk Suhaimi' dan Pengarah tersebut telah menghantar satu pautan (link) ke telefon bimbit mangsa serta mengarahkan mangsa untuk menekan pautan yang diberikan dengan mengisi segala maklumat peribadi serta perbankan milik mangsa.

"Mangsa kemudian menekan link tersebut dan mengisi maklumat peribadi serta akses dua akaun perbankan dalam talian miliknya serta akaun bersama adik lelakinya yang berusia sekitar 50-an yang bekerja di Singapura," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Amran, 'pengarah Bukit Aman' itu turut mengarahkan mangsa memindahkan semua wang simpanan mangsa ke akaun yang didedahkan atas alasan untuk siasatan.

Katanya, pada Selasa lalu, mangsa telah mengikut arahan 'pengarah' tersebut dan telah memindahkan wang berjumlah RM312,795.66 ke akaun yang didedahkan. Pada masa sama terdapat sejumlah wang sekitar RM400,000 di dalam kedua-dua akaun bank mangsa.

"Ketika mangsa membuat semakan dan mengemas kini buku akaun bank Jumaat, beliau mendapati terdapat pindahan keluar wang dari akaun miliknya ke akaun yang tidak dikenali melalui 'duit now' antara Selasa hingga Jumaat berjumlah RM697,000.

"Mangsa yang mengesyaki dirinya telah diperdaya oleh pihak yang menyamar sebagai pegawai LHDN kemudiannya bertindak membuat laporan polis pada hari yang sama," katanya sambil menambah kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati, tidak panik dan ambil masa untuk periksa kesahihan informasi yang dimaklumkan individu yang tidak dikenali.