Jangan salah tafsir lawatan menteri, timbalan menteri ke lokasi banjir

Datuk Seri Jalaluddin Alias
Datuk Seri Jalaluddin Alias
A
A
A

JELEBU - Lawatan barisan menteri dan timbalan menteri ke lokasi mangsa banjir bukannya berunsurkan politik sebaliknya lawatan ihsan bagi membantu mereka yang terjejas.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berharap perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana boleh mencetuskan kegelisahan dan kemarahan rakyat.

"Kalau kita lihat bukan sahaja di Jelebu, tetapi Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak dan Pahang alami banjir, kesemua kawasan terjejas dilawati oleh barisan menteri kabinet dan timbalan menteri.

"Ia termasuk pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai peringkat yang mana kehadiran mereka bukan disebabkan politik, tetapi hadir atas rasa untuk bersama-sama menyumbang khidmat bagi membantu masyarakat yang terjejas," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jelebu di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan netizen yang mempersoalkan kehadiran pemimpin melawat lokasi banjir yang disertai dengan pengiring yang ramai.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berpendapat, kehadiran barisan pemimpin itu adalah mencerminkan semangat Keluarga Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Oleh kerana mereka tidak terlibat dengan keadaan musibah yang sebegitu rupa, maka mereka hadir beri bantuan.

"Saya harap perkara ini tidak dijadikan isu kerana boleh mencetuskan kegelisahan dan kemarahan rakyat apatah lagi dalam usaha kita sedang membangkitkan semangat mereka yang terjejas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau sebelum itu menerima sumbangan bantuan banjir daripada Yayasan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang disampaikan oleh Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

Sebanyak 1,000 kit kotak makanan berserta tilam dan toto disumbangkan melibatkan kos keseluruhan RM300,000.