Kelantan siap sedia hadapi banjir lebih besar

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku episod banjir lebih besar di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata, Kelantan akan menggunakan pengalaman menghadapi 'tsunami darat' pada 2014 lalu sebagai persiapan sekiranya negeri berkenaan menghadapi musibah sama seperti dialami Selangor dan Pahang ketika ini.

"Banjir yang berlaku di Selangor dan Pahang adalah di luar jangkaan dan kejadian itu amat luar biasa jika dibandingkan sebelum ini.

"Kejadian banjir di kedua-dua negeri itu mengingatkan kita tentang banjir besar yang berlaku di Kelantan pada 2014. Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui beberapa agensi terlibat bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir yang lebih besar berikutan ramalan terkini," katanya selepas Majlis Pelepasan Misi Pemulihan Bantuan Banjir (Khidmat Malaysia) Kelantan ke Pahang di Kota Darul Naim di sini pada Jumaat.

Seramai 1,500 sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan negeri terlibat dalam misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas di empat kawasan di Pahang pada misi kali ini.

Mengulas mengenai misi bantuan tersebut, Ahmad berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM100,000 bagi tujuan kegunaan sukarelawan terlibat.

"Sebelum ini, kerajaan negeri telah menyumbang sebanyak RM200,000 kepada Pahang dan Selangor yang teruk terjejas dengan banjir kali ini melalui Tabung Serambi Mekah yang diwakilkan penyerahannya oleh Timbalan Pengerusi Khidmat Malaysia Kelantan, Datuk Mumtaz Mohd Nawi.

"Hari ini sebanyak RM100,000 disediakan dari Tabung Bencana Negeri dan mereka akan bergerak ke empat lokasi di Pahang membabitkan Kuala Lipis, Jerantut, Kuala Krau dan Bentong," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: