X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 28 Mei 2022

Banjir: Kerajaan sumbang RM10,000 kepada waris terkorban

Ismail Sabri meluangkan masa bertanya khabar mangsa-mangsa banjir yang terjejas akibat banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A

BENTONG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan menyumbang RM10,000 kepada waris bagi setiap ahli keluarga yang meninggal dunia akibat bencana banjir yang melanda negara ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan mendapatkan senarai nama mereka yang terkorban daripada pusat bencana daerah, bagi memastikan sumbangan itu disampaikan segera.

“Kita amat simpati dan sedih dengan apa yang berlaku dan kita akan beri sumbangan, kita akan salurkan melalui pejabat daerah dan mereka akan salurkan kepada waris mangsa.

“Difahamkan juga kerajaan negeri Pahang juga akan menyalur RM5,000 kepada waris mangsa yang terkorban,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu, di sini pada Jumaat.

Bagi membantu negeri yang teruk terjejas banjir, Ismail Sabri berkata, kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada Pahang dan Selangor.

Katanya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga diarah untuk membantu dua negeri tersebut untuk mengepam air yang bertakung di kawasan terjejas termasuk di Mentakab, Pahang.

Selain itu, KASA juga akan memulakan operasi meluruskan sungai dan membina benteng setinggi empat meter bagi persiapan awal, sekiranya gelombang kedua banjir berlaku.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memudahkan pemberian bantuan RM1,000, kepada ketua keluarga yang ditimpa musibah banjir.

“Saya mahu Nadma buat bayaran segera. Bagi terus kepada mereka yang ada di PPS ini sebelum pulang ke rumah kerana data dah ada, tak perlu nak tunggu isi borang dan sebagainya, bagi terus,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, sehingga kini Nadma telah menyalurkan dana sebanyak RM26.9 juta kepada 11 negeri termasuk negeri yang belum dilanda banjir, sebagai persiapan awal.

Selain itu, beliau berkata, Bank Simpanan Nasional telah menaikkan tawaran pinjaman peribadi buat mangsa banjir kepada RM10,000 berbanding RM5,000 sebelum ini, bagi memudahkan mereka membeli keperluan rumah.

Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menyumbang peruntukan kepada badan bukan kerajaan yang ingin membantu dalam proses pembersihan banjir, dengan jumlah akan diumumkan kelak. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!