Waspada penipuan kutipan derma banjir: Polis

Datuk Mohd Kamarudin Md Din
Datuk Mohd Kamarudin Md Din
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada sebelum memberi derma kepada mangsa banjir untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan individu tidak bertanggungjawab.

Pengarah Jabatan Siasatan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang cuba mengambil kesempatan daripada bencana banjir berkenaan.

"Pelbagai inisiatif kutipan derma telah dilancarkan oleh parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, dan individu untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

"Aktiviti kutipan bersifat kebajikan ini akan mendapat maklum balas positif daripada rakyat Malaysia, justeru pihak polis tidak menolak kemungkinan wujud segelintir individu yang mengambil kesempatan daripada isu banjir ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Kamarudin berkata, setakat ini pihaknya masih tidak menerima sebarang laporan berkaitan penipuan membabitkan kutipan derma banjir.

"Adalah ditegaskan bahawa pihak polis sentiasa memantau aktiviti kutipan derma terutama yang dilakukan melalui internet dan sebarang aktiviti meragukan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dalam menyalurkan bantuan agar ia benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang informasi berkenaan aktiviti penipuan kutipan derma digesa untuk menyalurkan maklumat kepada polis melalui CCID Scam Response Centre di talian 03-2610 1559/1599," ujarnya.

Artikel Berkaitan: