Lantai ruang tamu reput digenangi banjir

Keadaan lantai rumah Rubiah runtuh dan sebahagiannya mereput akibat limpahan banjir setinggi dua meter pada Sabtu lalu.
Keadaan lantai rumah Rubiah runtuh dan sebahagiannya mereput akibat limpahan banjir setinggi dua meter pada Sabtu lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebahagian lantai ruang tamu sebuah rumah penduduk di Kampung Rantau Panjang di sini runtuh susulan banjir melanda kampung itu pada Ahad.

Rubiah Fakir Khan, 60, berkata, kejadian disedari apabila dia pulang ke rumah sejurus banjir kembali surut pada Rabu.

Menurut Rubiah, luluh hatinya apabila melihat lantai kediamannya berusia 40 tahun itu runtuh dan sebahagiannya reput akibat digenangi banjir.

"Saya terkejut sebaik pulang ke rumah dapati semua barangan diselaputi lumpur, malah lebih menyedihkan lantai rumah runtuh dan mereput," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Ujar Rubiah, mereka sekeluarga bukan sahaja menanggung kerugian apabila banyak kelengkapan rumah dan harta benda rosak, malah terpaksa berkorban masa serta keringat membersihkan rumah berlumpur.

"Keadaan lumpur begitu teruk dan sukar dibersihkan malah mengundang bau yang kurang menyenangkan," katanya.

Ibu tunggal itu yang masuk tiga kali melalui pengalaman seumpamanya mengakui kejadian pada Sabtu lalu paling buruk kerana air naik setinggi dua meter masuk ke dalam rumah sangat cepat.

"Tahun ini sahaja, sudah dua kali kami sekeluarga dipindahkan ke PPS (pusat pemindahan sementara) akibat banjir.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian (banjir melimpah ke dalam rumah) ini ibarat igauan ngeri kerana banyak harta benda musnah dan terpaksa mencari kos untuk membaik pulih lantai runtuh dan reput sebelum kembali menduduki rumah ini," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Rubiah di talian 019-7222726