Pencemaran kimia: 209 mangsa terima rawatan, 8 di ICU

Pasukan Unit Hazmat (Bahan Berbahaya) Jabatan Bomba dan Penyelamat bersiap sedia memakai pakaian khas dipercayai bagi melakukan pemeriksaan di kawasan insiden pencemaran bahan kimia di Pusat Kawalan Lapangan (Ground Command Centre) Dewan Komuniti Taman Pasir Putih Pasir Gudang hari ini. - Foto Bernama
Pasukan Unit Hazmat (Bahan Berbahaya) Jabatan Bomba dan Penyelamat bersiap sedia memakai pakaian khas dipercayai bagi melakukan pemeriksaan di kawasan insiden pencemaran bahan kimia di Pusat Kawalan Lapangan (Ground Command Centre) Dewan Komuniti Taman Pasir Putih Pasir Gudang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR GUDANG - [DIKEMASKINI] Sejak hari pertama kejadian sehingga semalam, seramai 947 orang awam telah mendapat rawatan daripada pihak Kementerian Kesihatan.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, angka yang mendapat rawatan di wad ialah 209 orang dan di unit rawatan rapi (ICU) iaitu lapan orang.

“Jadi jumlahnya 217 orang. Kena maklum bahawa kes-kes yang kita dapat pada hari pertama iaitu hari Khamis hinggalah hari Ahad kesemua kes itu Alhamdulillah sudah sangat stabil dan dipindahkan ke wad biasa.

“Termasuklah dua orang kes yang diviralkan. Yang nazak, kritikal, meninggal dunia sebetulanya tiada. Dan semalam saya bersama Exco dan Datuk MB telah melawat pesakit pemandu ambulans.

"Kami dapat berbual dengan dia, dan Alhamdulillah keadaan dia sangat baik, dan dia dibenarkan ke wad biasa,” katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) Johor Bahru di Menara Aqabah di sini hari ini.

Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin Jamal

Sahruddin berkata, bagi sekolah pula, sebanyak 111 sekolah di Pasir Gudang telah diarahkan tutup serta merta mulai hari ini, selaras dengan keputusan oleh Menteri Pendidikan.

Katanya, perkembangan kerja pembersihan yang dikawal selia oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih diteruskan.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri menasihatkan orang awam tidak menghampiri kawasan kejadian semasa kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh pihak kontraktor yang telah dilantik.

“Saya diberitahu kerja-kerja pembersihan sudah mula (semalam). Kerajaan negeri juga menasihatkan supaya orang awam di kawasan Pasir Gudang untuk meminimakan aktiviti di luar serta menggalakkan pemakaian ‘face mask’ yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menyarankan agar orang awam mendapatkan maklumat terkini dari sumber-sumber yang sahih seperti dari Jabatan Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan agensi penguatkuasaan yang lain.