Pembangunan Sedenak percepat pertumbuhan utara Iskandar Malaysia: PM

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan Mukim Sedenak di utara Iskandar Malaysia akan mempercepatkan pertumbuhan di kawasan itu, daerah-daerah berhampiran serta memanfaatkan komuniti tempatan dan mengukuhkan jaringan akses antara Johor dan negeri-negeri lain.

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah memulakan inisiatif membangunkan kawasan itu dengan tumpuan diberikan kepada industri agroteknologi, teknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti rendah karbon.

“Sedenak akan menjadi ‘flagship’ keenam di Iskandar Malaysia selepas Pusat Bandar Johor Bahru; Iskandar Puteri; Tanjung Pelepas dan Tanjung Bin; Pasir Gudang dan Tanjung Langsat serta Senai-Skudai.

"Ini akan menyumbang ke arah menjadikan Johor sebagai sebuah hab pembekal makanan dan pintu masuk antarabangsa untuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli IRDA di Putrajaya secara maya pada Khamis.

Mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi Bersama, Datuk Hasni Mohamad yang juga Menteri Besar Johor dan beberapa menteri kabinet.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Iskandar Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengekalkan atau meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, seramai 5,000 ahli Keluarga Malaysia di wilayah itu telah menerima bantuan dalam bentuk geran padanan gaji, geran memulakan perniagaan, latihan dan pembangunan kapasiti.

“Melalui ‘Iskandar Malaysia Employment Grant’ (IMEG), sebanyak 252 syarikat telah mengekalkan atau mengambil seramai 1,811 pekerja baharu termasuk daripada golongan wanita, penganggur, orang kurang upaya (OKU) dan pesara.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, seramai 1,425 usahawan pula telah menyertai pelbagai program latihan manakala 117 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menerima geran untuk menyokong operasi perniagaan mereka di bawah Program Usahawan Dinamik Iskandar Malaysia," katanya.

Bagi Program Iskandar Malaysia Urban Farming (IMURFARM), beliau berkata, seramai 140 peserta B40 telah menyertainya dan berjaya mencatatkan purata pendapatan sebanyak RM2,800 setiap tuaian manakala 730 peserta program IM Makmur merekodkan peningkatan purata pendapatan antara 25 peratus hingga 65 peratus melalui skim penjanaan pendapatan.

Ismail Sabri berkata, IMRENT (geran pembayaran sewa), IMSTART (geran permulaan perniagaan) dan IMYES (geran usahawan belia) adalah antara bantuan-bantuan kewangan dan latihan untuk golongan tertentu di bawah agenda ekonomi inklusif di Iskandar Malaysia.

Bagi memperhebatkan lagi bantuan untuk rakyat, Ismail Sabri berkata, IRDA menyarankan keperluan untuk meneruskan pembangunan rumah transit yang disasarkan kepada rakyat yang baru sahaja bekerja, memulakan perniagaan atau keluarga.

Katanya, melihat kepada trend generasi sekarang yang lebih berminat untuk menyewa daripada membeli rumah, skim sewaan rumah ini membolehkan mereka tinggal di perumahan yang selamat dan mampu milik sementara mereka menstabilkan sumber-sumber mereka untuk masa hadapan yang lebih kukuh.

Beliau berkata, skim berkenaan terbukti berjaya melalui Rumah Iskandar Malaysia, yang terletak di Gelang Patah dan hampir kesemua 1,500 unit apartmen telah didiami dan dimanfaatkan rakyat.

Selain itu, IRDA juga bersetuju menyegerakan inisiatif-inisiatif utama seperti Iskandar Rapid Transit, Iskandar Malaysia Urban Observatory, Bandar Pintar Iskandar Malaysia, Masyarakat Rendah Karbon, Program Komuniti Hijau dan Pengurangan Karbon dan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge bagi menggalakkan pendekatan kemampanan yang menyeluruh dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar. - Bernama