Agensi kerajaan, NGO turun padang bersih kawasan banjir

Sukarelawan membantu membersihkan rumah penduduk tempaya
Sukarelawan membantu membersihkan rumah penduduk tempaya
A
A
A

HULU LANGAT - Penduduk yang terjejas akibat banjir di kawasan Sungai Lui di sini berterima kasih kepada agensi kerajaan dan penguatkuasaan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang untuk membantu membersihkan kawasan perumahan mereka.

Antara agensi kerajaan yang hadir bergotong-royong termasuklah anggota Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), kakitangan Kementerian Pendidikan dan beberapa NGO tempatan.

Seorang penduduk yang ditemui, Noor Hamidah Hamdan, 54, mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas bantuan yang dihulurkan oleh sukarelawan terbabit.

"Pada hari pertama banjir bantuan lambat tetapi kita pun faham sebab jalan semua tak boleh dilalui. Tetapi hari ini saya bersyukur sangat dengan kehadiran mereka ke sini.

"Ramai anggota dari pasukan TUDM, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), PDRM, ada juga kakitangan dari Kementerian Pendidikan Malaysia yang turut sama membantu kami.

"Saya tak tahu nak cakap apa lagi, hanya tuhan sahaja yang dapat membalas jasa baik mereka semua," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di sini pada Khamis.

Keadaan rumah penduduk yang deselaputi lumpur
Keadaan rumah penduduk yang deselaputi lumpur

Mohd Zakki Hamdan, 59, turut berterima kasih kepada sukarelawan daripada agensi penguatkuasaan yang sanggup membantu membersihkan kawasan kediaman penduduk setempat termasuk rumah pusaka miliknya.

Artikel Berkaitan:

"Rumah ini harta pusaka, sejak saya lahir memang sudah ada di sini malah rumah adik serta abang saya juga ada di sini.

"Kami di sini memang memerlukan bantuan tenaga kerja kerana bantuan makanan sudah cukup banyak. Jadi kami amat berterima kasih kepada TUDM, PDRM dan NGO yang membantu membersihkan rumah kami," katanya.

Tambahnya, dia dan penduduk setempat amat mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan tenaga kerja kerana mereka amat memerlukannya untuk kerja-kerja pembersihan.

"Kami di sini kalau boleh perlukan tenaga kerja, kalau ada mana-mana pihak yang nak datang membantu, kami sambut dengan tangan terbuka," ujarnya.