207 Tabika, Taska, pusat kegiatan Kemas terjejas banjir

Mahdzir - Foto Bernama
Mahdzir - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 207 premis Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) serta Pusat Kegiatan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) terjejas akibat banjir yang melanda Lembah Klang dan beberapa negeri lain.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan Tabika Kemas yang paling teruk terjejas adalah di Selangor melibatkan 111 buah dan Pahang iaitu 58 buah.

“Sejumlah 357 kakitangan Kemas sendiri turut menjadi mangsa bencana banjir di seluruh negara,” katanya.

Banjir melanda Lembah Klang sejak Sabtu lepas (18 Disember) susulan hujan lebat berterusan menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan, manakala ramai pengguna jalan raya terkandas akibat laluan terjejas kerana dinaiki air.

Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Perak.

Sehubungan itu, beliau berkata, seramai 1,256 sukarelawan kakitangan Kemas digerakkan ke negeri-negeri terjejas banjir bagi melaksanakan misi bantuan pasca banjir di bawah program Kemas Prihatin selama tiga hari bermula Khamis.

“Kita menggerakkan inisiatif bantuan ini bukan hanya untuk kerja-kerja pembersihan premis-premis Tabika dan Taska Kemas yang terjejas dilanda bencana banjir, tetapi juga untuk rumah-rumah penduduk yang berhampiran.

"Kita berharap dengan bantuan yang digerakkan ini akan membolehkan premis-premis Tabika dan Taska Kemas dapat bersedia menerima kemasukan anak-anak kerana tidak lama lagi sesi persekolahan akan bermula,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahdzir berkata, antara kawasan tumpuan misi bantuan pasca banjir itu termasuk ke Hulu Langat, Puchong, Shah Alam, Klang di Selangor serta Pahang.

“Saya mengucapkan tahniah atas kesediaan semua sukarelawan kakitangan Kemas yang terlibat dalam misi bantuan ini dan ini juga merupakan satu ibadah kepada kita dalam membantu melapangkan kesusahan orang lain,” katanya. - Bernama