Singapura, Indonesia sama handal

Aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2020 antara Indonesia dan Singapura di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.
Aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2020 antara Indonesia dan Singapura di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.
A
A
A
SINGAPURA dan Indonesia mempunyai peluang seimbang mara ke pentas final Piala Suzuki AFF 2020 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.

Baik Indonesia yang juga juara Kumpulan B mahupun Singapura – naib juara Kumpulan A, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan seimbang sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Indonesia tampak lebih garang pada babak pertama sebelum Singapura yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri tampil lebih mengancam dalam tempoh 45 minit aksi babak kedua.

Selepas beberapa kali mengasak gawang Singapura, sang Garuda akhirnya memperoleh gol yang dicari-cari menerusi Witan Sulaeman yang menyudahkan hantaran Asnawi Mangkualam pada minit ke-28.

Indonesia hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-37, namun percubaan Witan dari jarak dekat sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Singapura.

Berbekalkan sokongan padu ribuan penyokong sendiri, Singapura mula menggandakan asakan ke kubu Indonesia bagi memburu gol sebaik babak kedua bersambung,

Menerusi satu serangan balas, Singapura menggamatkan stadium apabila penyerang berbisa, Ikhsan Fandi meledak gol hasil lorongan cantik Faris Ramli pada minit ke-70.

Sekalipun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi memburu jaringan tambahan, kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Indonesia dan Singapura akan kembali membuat perhitungan dalam aksi separuh akhir kedua yang bakal berlangsung pada 25 Disember ini.
Artikel Berkaitan: