Banjir: Bengkel jangan ambil kesempatan kenaikan harga melampau

Penduduk setempat membersihkan kereta yang masih ditenggelami banjir di Taman Seri Muda Seksyen 25. -Foto Bernama
Penduduk setempat membersihkan kereta yang masih ditenggelami banjir di Taman Seri Muda Seksyen 25. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengusaha bengkel kenderaan bermotor diingatkan tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang melampau bagi kerja-kerja pembaikan kenderaan ekoran bencana banjir yang melanda negara.

Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, peniaga bengkel harus mematuhi Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002, Akta Pelindungan Pengguna 1999.

Menegaskan KPDNHEP akan meningkatkan pemantauan ke atas premis perniagaan kenderaan bermotor, beliau berkata peniaga yang mengambil kesempatan boleh disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisma Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

Azman dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, sepanjang 2021, KPDNHEP telah menjalankan sebanyak 570 pemeriksaan terhadap bengkel kenderaan bermotor dan 76 kes telah diambil tindakan dengan nilai kompaun sebanyak RM21,250.

"Pengguna dinasihatkan berhati-hati mendapatkan sebut harga secara bertulis berkaitan jangkaan pembaikan kenderaan daripada peniaga," katanya sambil menyarankan pengguna mendapatkan perkhidmatan pembaikan di pusat servis kenderaan berkaitan sekiranya kenderaan masih dalam jaminan.

Sebarang aduan atau maklumat, orang ramai boleh melaporkan kepada KPDNHEP melalui saluran aduan iaitu WhatsApp 019-279 4317, portal aduan di e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, emel kepada e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Ez ADU KPDNHEP.

Hujan lebat sejak 17 Disember lepas mengakibatkan kejadian banjir termasuk di Lembah Klang selain merosakkan harta benda termasuk kenderaan bermotor. - Bernama

Artikel Berkaitan: