Belajar sambil berhibur di Karnival Kewangan Terengganu

Arlina (dua, kiri) sewaktu sidang media bagi mempromosikan Karnival Kewangan Terengganu.
Arlina (dua, kiri) sewaktu sidang media bagi mempromosikan Karnival Kewangan Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Bank Negara Malaysia (BNM) menyasarkan 3,800 peserta menyertai Karnival Kewangan Terengganu dari 4 hingga 6 April depan di Hotel TH & Convention Centre, Kuala Nerus.

Pengarah LINK dan Pejabat BNM, Datin Arlina Ariff berkata, karnival terbesar yang dianjurkan di Pantai Timur itu bertujuan bagi meningkatkan kesedaran tentang celik kewangan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu katanya, ia diharap dapat memperkukuhkan keupayaan pengurusan kewangan dalam komuniti di Pantai Timur menerusi pusat sehenti untuk belajar sambil berhibur serta memperkenalkan produk dan perkhidmatan kewangan.

“Karnival ini kita teruskan ke Pantai Timur selepas Sabah, Sarawak dan Utara. Sempena karnival ini, kita membawa bersama lebih 45 institusi kewangan dan agensi kerajaan dalam mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan.

“Ini termasuk produk perbankan Islam, pembiayaan PKS, perlindungan insurans dan takaful serta e-pembayaran.

“Masyarakat juga akan mendapat pencerahan mendalam tentang pelbagai perihal berkaitan kewangan seperti perancangan kewangan, penipuan kewangan dan saluran bantuan penyelesaian kewangan,” katanya pada sidang media yang diadakan di BNM cawangan Terengganu di sini, hari ini.

Jelas Arlina, karnival itu merupakan kolaborasi bersama pejabat-pejabat BNM, Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).

Karnival mesra keluarga ini juga menawarkan pelbagai aktiviti termasuk forum perdana mengenai kewangan dan hal ehwal Islam, ‘pocket talks’, aktiviti kanak-kanak dan pelbagai aktiviti lain yang menawarkan hadiah sehingga RM150,000.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti menarik yang dijangka akan menjadi tumpuan ialah sesi perkongsian istimewa oleh pengembara selebriti dan hos, Mat Dan dan artis rap, Caprice serta konsert mini oleh Aiman Tino dan Shafiq Farhain.

“Selain itu, kita juga akan adakan siri jelajah untuk mempromosikan karnival ini yang bertajuk ‘Sembang Santai Bersama Rakan-rakan Karnival Kewangan’ di 11 lokasi di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Jelajah ini akan diadakan dari 18 hingga 31 Mac. Sepanjang jelajah ini, kita akan menyampaikan maklumat berkaitan pengurusan kewangan, produk dan perkhidmatan kewangan kepada komuniti di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan,” katanya.