KWP salur bantuan segera ke Selangor walau KL banjir

Shahidan (kiri) turun meninjau keadaan mangsa banjir di Taman Sri Muda Shah Alam pada Selasa. -Foto: FB Shahidan Kassim.
Shahidan (kiri) turun meninjau keadaan mangsa banjir di Taman Sri Muda Shah Alam pada Selasa. -Foto: FB Shahidan Kassim.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah menyegerakan bantuan ke Selangor seawal Sabtu meskipun ibu kota turut dilanda banjir dan tanah runtuh.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim melalui kenyataan pada Rabu mengulas dakwaan di laman sosial bahawa KWP melalui agensi di bawahnya hanya bertindak menghulurkan bantuan selepas empat hari banjir menimpa negeri jirannya iaitu Selangor.

"Ingin saya tegaskan bahawa Kuala Lumpur juga berhadapan dengan kejadian banjir buruk dan tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terlibat dengan kerja-kerja operasi membantu, menyelamat dan membersih kawasan yang terkesan, " katanya.

Beliau berkata, KWP sentiasa memastikan pengurusan banjir di Kuala Lumpur berada dalam keadaan terbaik namun tidak lupa menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di luar Wilayah Persekutuan.

"Operasi bantuan KWP melalui DBKL di luar Wilayah Persekutuan bermula Ahad lalu manakala Perbadanan Putrajaya (PPj) sehari lebih awal.

"DBKL telah menghantar bantuan di kawasan Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 Shah Alam pada Ahad lalu dan Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam pada Isnin," katanya.

Katanya lagi, DBKL telah mengerahkan seramai 121 anggota Jabatan Penguatkuasaan DBKL dan Jabatan dalaman DBKL yang lain dalam misi bantuan sejak Ahad sehingga Rabu selain menyediakan aset menyelamat termasuk kenderaan dan tandas bergerak.

Tambah beliau, seramai 57 mangsa terkandas di kawasan banjir diselamatkan dan membantu mengagihkan makanan kepada mangsa hasil sumbangan syarikat KK Mart dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan PPj menggerakkan sebuah bot utiliti di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat dan tiga unit ‘Sailing Optimis’ untuk penghantaran keperluan makanan di Taman Baiduri, Dengkil.

"Seramai 50 anggota dan sukarelawan membantu bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta bantuan ke Kampung Labu Lanjut, Sepang bermula Rabu," katanya.

Pada masa sama katanya, KWP terus melakukan pemantauan secara berkala di kawasan-kawasan yang keadaan banjir semakin baik dan bantuan bakul makanan akan terus diedarkan kepada penduduk yang terjejas.