Dua platun PGA bantu mangsa banjir di Hulu Langat, Shah Alam

PGA menggunakan aset bagi membantu menyelamatkan mangsa banjir di Hulu Langat.
PGA menggunakan aset bagi membantu menyelamatkan mangsa banjir di Hulu Langat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua platun daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan Muar telah diarahkan untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Hulu Langat dan Shah Alam pada Sabtu dan Ahad.

Komander Bridged Tengah PGA Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, satu pegawai dan 25 anggota PGA Semenyih telah ditugaskan untuk membantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di Hulu Langat.

"Sebuah kenderaan pacuan empat roda Land Rover, dua lori, satu bot, satu treler bot, 22 jaket keselamatan turut digunakan di kawasan banjir di Hulu Langat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Muhammad berkata, satu pegawai dan 35 anggota PGA Muar pula ditugaskan untuk membantu IPD Shah Alam di lokasi banjir di kawasan tersebut.

"Sebanyak tiga kenderaan pacuan empat roda Land Rover, dua lori, dua bot, dua treler bot dan 50 jaket keselamatan digunakan di kawasan banjir di Shah Alam," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menerima panggilan bantuan daripada IPD Kajang untuk misi mencari dan menyelamat 19 individu yang dipercayai terperangkap di runtuhan bukit di Jalan Genting Peras Hulu Langat pada Ahad.

"Seramai 25 anggota dan seorang pegawai dari Tiger Platoon PGA Semenyih berjaya menyelamatkan 19 mangsa termasuk lima kanak-kanak.

Salah seorang anggota PGA Semenyih membantu kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir di kawasan Hulu Langat.
Salah seorang anggota PGA Semenyih membantu kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir di kawasan Hulu Langat.

Artikel Berkaitan:

"Turut bersama dalam operasi ini ialah pegawai dan anggota IPD Kajang dan pasukan bomba dan penyelamat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 19 individu terperangkap tanah runtuh diselamatkan

Muhammad berkata, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota yang sentiasa komited dalam setiap operasi yang dijalankan.

"Kita sentiasa prihatin dan waspada dengan bencana yang berlaku selain komited terhadap penugasan hakiki kami menjaga keselamatan negara," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Muhammad memaklumkan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) PGA, Rosita Mohd Khair turut bersimpati dengan bencana yang melanda kawasan yang terjejas teruk di Hulu Langat

"Beliau telah melancarkan derma kilat peringkat Perkep Briged Tengah. Hasil kutipan derma itu telah digunakan untuk membeli barangan makanan dan keperluan bayi," katanya.

Muhammad berkata, sumbangan itu telah diagihkan di kawasan Kampung Sri Raya, Batu 18 dan Sungai Lui Hulu Langat yang terjejas teruk akibat arus banjir deras yang memusnahkan harta benda.

"Dengan adanya bantuan ini dapat meringankan serba sedikit bebanan mangsa-mangsa banjir," katanya.