Kerja pengepaman air dimulakan di kawasan banjir

Penduduk setempat meredah air bagi mengambil barang keperluan di kediaman ketika tinjauan di Taman Seri Muda Seksyen 25 pada Selasa. - Foto Bernama
Penduduk setempat meredah air bagi mengambil barang keperluan di kediaman ketika tinjauan di Taman Seri Muda Seksyen 25 pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Proses menyedut air banjir di kawasan yang masih tergenang di negeri ini telah bermula dengan penggunaan pam air untuk disalurkan ke sungai dan parit besar berdekatan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, sejak Isnin malam, beberapa pam air telah diterima kerajaan negeri daripada pihak luar termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran dari negeri-negeri lain dan kerajaan Persekutuan.

“Pam-pam ini kemudian telah dihantar ke tempat yang memerlukan seperti Jalan Kebun Bunga dan Batu Tiga serta Taman Sri Muda di Shah Alam dan kerja-kerja pengepaman air telah bermula pada Isnin malam,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau berkata, di Klang sahaja, lebih 50 pam air digunakan bagi tujuan itu.

Selain itu, katanya daripada kira-kira 900 ke 1,000 pencawang elektrik di Selangor, lebih 400 pencawang masih gagal beroperasi semula akibat banjir setakat Isnin, menyebabkan bekalan elektrik terjejas di kawasan terlibat.

Dalam pada itu, Izham berkata, kerja-kerja pembersihan kini ditumpukan di kawasan yang mengalami pasca banjir, manakala kerja-kerja memindahkan mangsa banjir dilakukan di beberapa tempat yang baru mengalami banjir.

“Beberapa tempat kini sedang dinaiki air sebagai contoh Kuala Selangor dan Kuala Langat kerana air mengalir ke hilir sungai, dan penduduk di sana sudah mula dipindahkan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: