Mana koordinasi?

Orang ramai bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bekerjasama untuk mengeluarkan mangsa banjir. - Foto Bernama
Orang ramai bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bekerjasama untuk mengeluarkan mangsa banjir. - Foto Bernama
A
A
A

KEJADIAN banjir buruk di Selangor memang mengejutkan banyak pihak. Ramai yang tidak menyangka kediaman yang diduduki sejak sekian lama dinaiki air.

Berdasarkan rekod sejarah banjir buruk yang melanda kawasan Lembah Klang ini berlaku pada tahun 1971 atau 50 tahun yang lalu.

Pada kebiasaannya, kejadian banjir ini sinonim di kawasan Pantai Timur pada setiap tahun.

Setiap tahun juga Sinar Harian melaporkan pelbagai usaha dan inisiatif semua pihak dalam menghadapi banjir.

Bagaimanapun, episod hujan lebat sejak awal pagi Jumaat lalu telah menyebabkan Selangor dikejutkan dengan banjir besar yang membinasakan.

Ada nyawa telah terkorban dan jumlah kerugian boleh mencecah ratusan juta ringgit.

Ironinya, selepas 48 jam kejadian itu berlaku, masih ramai yang terperangkap dan tidak dapat diselamatkan.

Ini menyebabkan kemarahan rakyat kepada pihak berkuasa termasuk kerajaan Pusat dan negeri.

Artikel Berkaitan:

Entah di mana silapnya, seolah-olah tiada sebarang koordinasi antara semua pihak menyebabkan usaha membantu rakyat mengambil masa yang cukup lama.

Ada dakwaan mengatakan sukarelawan yang mempunyai bot tidak dibenarkan masuk ke kawasan bencana.

Ini amat mendukacitakan kita semua dan merasakan bahawa kerenah birokrasi amat tidak diperlukan sewaktu bencana.

Tambah mengecewakan, ada menteri ambil kesempatan membuat majlis pelancaran bagi membantu mangsa banjir, tetapi ketika menteri berucap, ada insan sedang dalam ketakutan dan kelaparan.

Sepatutnya budaya seperti itu sudah patut dihapuskan. Menteri sepatutnya melancarkan sahaja bot ke dalam air dan terus menyelamat mangsa dan bukan mengadakan majlis yang tidak diperlukan itu.

Sementara itu, ingin juga diingatkan walaupun negeri lain turut ditimpa bencana namun situasi banjir di Lembah Klang perlu diberikan perhatian kerana kawasan ini merupakan jantung utama negara dari segi ekonomi.

Sebarang kejadian yang berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur akan memberi impak yang amat besar.