Mayat wanita di tepi jalan disyaki mangsa bunuh

Pakaian yang dipakai oleh mangsa.
Pakaian yang dipakai oleh mangsa.
A
A
A

GOMBAK - Polis Gombak telah menerima laporan bedah siasat ke atas mayat wanita yang ditemui di Jalan Batang Kali-Selayang Ulu Yam pada Sabtu yang didapati ada kesan kecederaan meragukan disyaki dibunuh.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini identiti mangsa masih belum diketahui, pakaian terakhir yang dipakai mangsa adalah baju bercorak batik warna merah, hitam dan putih serta berseluar panjang petak-petak warna coklat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Zainal Mohamed memaklumkan, keluarga atau waris yang kehilangan ahli keluarga serta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan R Kolanthaivelu di talian 019-2579232.

Pada Sabtu, media melaporkan mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan terbaring di tepi Jalan Selayang-Ulu Yam Baru dari arah Batang Kali pada jam 8.30 pagi.

Mayat tersebut ditutup dengan sehelai kain selimut warna merah jambu serta sehelai kain warna putih sewaktu ditemui.

Wanita tersebut dipercayai warga asing susulan tiada tanda suntikan BCG.

Pemeriksaan fizikal pada badan wanita itu mendapati terdapat kesan lebam dan bengkak di dahi mangsa.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat wanita berselimut 'pink' ditemui tepi jalan