Dua atlet angkat berat kena gantung

Aksi Azroy ketika bertanding pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018.
Aksi Azroy ketika bertanding pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018.
A
A
A

DUA atlet angkat berat negara - Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Mohd Zuari dijatuhi hukuman penggantungan empat tahun daripada sebarang penyertaan sukan selepas didapati positif doping sebelum ini.

Menerusi kenyataan media, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan Azroy, 27, dan Ikram,19, didapati melanggar artikel 2.1 dan 2.2 Peraturan Anti Doping Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas).

Atas kesalahan melanggar kedua-dua artikel berkenaan, Azroy dan Ikram dikenakan hukuman penggantungan itu berkuat kuasa pada 17 Julai lalu.

Kedua-dua sampel diuji menerusi Dapatan Analisis Memudaratkan (AAF) untuk bahan terlarang sebelum didapati mengandungi metandienone yang disenaraikan sebagai Anabolic Androgenic Steroids di bawah senarai terlarang Agensi Anti Doping Dunia (Wada).

"Kedua-dua kes ini dikendalikan selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Peraturan Anti Doping Adamas 2021 yang mana hak atlet diberi keutamaan untuk keadilan termasuk hak untuk didengar, pendengaran adil oleh panel bebas daripada operasi Adamas.

"Selaras dengan peraturan Anti Doping Adamas 2021 dan Kod Anti Doping Dunia 2021, panel pendengaran Anti Doping Malaysia memutuskan kedua-dua atlet itu membuat perlanggaran artikel 2.1 dan 2.2 Peraturan Anti Doping Adamas," menurut kenyataan itu.

KBS juga memaklumkan bahawa kedua-dua atlet berkenaan boleh mengemukakan rayuan secara bertulis membabitkan keputusan itu kepada Adamas dalam tempoh 21 hari untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan Azroy yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 dan Ikram yang baru diserapkan menyertai skuad kebangsaan didapati positif anabolic steroid.

Artikel Berkaitan:

Mereka berdepan hukuman maksimum empat tahun jika didapati bersalah dan ini bermakna Azroy akan terlepas peluang mempertahankan emas yang dimenanginya pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Birmingham tahun depan.

Kes berkenaan juga membawa kepada pembubaran skuad angkat berat kebangsaan dengan ketika ini PABM lebih menumpukan kepada atlet pelapis untuk mewakili negara.