154 rumah nelayan siap dibina Mac ini

Rashima (kiri) bersama kakitangan LKIM Pahang ketika ditemui pada program gotong-royong di Kampung Pantai Beserah di sini, hari ini.
A
A

KUANTAN - Sebanyak 154 buah rumah nelayan di bawah Projek Perumahan Nelayan Bunut Rendang, Inderapura bakal siap dibina pada bulan ini yang dapat meningkatkan kualiti hidup bukan sahaja golongan nelayan malah komuniti serta penduduk setempat.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia ((LKIM) Pahang, Rashima Baharuddin berkata, LKIM dengan kerjasama kerajaan negeri berusaha menyelesaikan isu penempatan nelayan dalam keadaan tidak sempurna.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu berjalan lancar hasil usaha kerjasama Kerajaan Pusat dan negeri bagi memberi kemudahan kepada nelayan di samping meringankan beban pendapatan mereka.

"Sebanyak 154 keluarga nelayan kini dapat menjalani kehidupan lebih selesa selepas rumah ini akan disiapkan pada bulan ini dan kita juga menjual rumah tersebut dengan harga mampu milik.

"Kita bina perumahan tersebut kerana kebanyakan mereka di sana sudah lama dalam bidang penangkapan ikan dan ramai di antara mereka masih menyewa rumah di kawasan.

"Diharap dengan pembinaan rumah tersebut, kita mampu memberi sedikit kegembiraan buat para nelayan di samping dapat mengurangkan kos perbelanjaan bulanan seperti sewa rumah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program gotong-royong di Kampung Pantai Beserah di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Kebajikan Ukhwah dan Silaturrahim Pahang (Ukhwah), Zulkefly Senek

Rashima berkata program gotong-royong yang dilaksanakan oleh pihaknya merupakan antara pendekatan terbaik dalam mendekati, membimbing dan membantu masyarakat melalui pelbagai program.

Menurutnya, antara aktiviti yang dilakukan termasuklah program gotong-royong membersihkan pantai, pertandingan mewarna untuk anak-anak nelayan di samping membuka kaunter khidmat pelanggan untuk mendapat maklumat tentang permasalahan yang mereka dihadapi.

"Kita bersyukur kerana program yang mempunyai pelbagai aktiviti ini mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat termasuklah golongan muda.

"Program gotong royong amat signifikan dalam usaha mengeratkan silaturahim antara masyarakat di sini dan pihaknya telah merancang pelbagai program secara berterusan dalam membantu nelayan di negeri," katanya.