116 polis Kelantan terlibat pelbagai salah laku

Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kontinjen Kelantan, Superintendan Lee Leng Ian (kanan) antara yang menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat pada Perhimpunan Bulanan PDRM Kontinjen Kelantan pada Isnin.
Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kontinjen Kelantan, Superintendan Lee Leng Ian (kanan) antara yang menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat pada Perhimpunan Bulanan PDRM Kontinjen Kelantan pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 116 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan terlibat pelbagai kes salah laku dan masalah disiplin dengan tujuh daripadanya dibuang kerja dalam tempoh Januari tahun ini sehingga Isnin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 61 kes sudah selesai dan pesalah dijatuhkan hukuman termasuk tindakan tatatertib dibuang kerja dan dikenakan denda.

“Hukuman dijatuhkan adalah pelbagai mengikut kesalahan-kesalahan yang dilakukan manakala 55 kes berbaki masih dalam siasatan dengan catatan gejala dadah 19 kes dan tidak hadir tugas sebanyak tujuh kes.

“Kesalahan membabitkan hubungan intim sebanyak dua kes manakala berkahwin tanpa kebenaran satu kes dan kesalahan lain-lain 46 kes,” katanya pada kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.

Shafien sebelum itu menyampaikan surat penghargaan kepada 112 pegawai, anggota dan kakitangan awam yang cemerlang dalam penugasan mereka.

Mengulas lanjut, seramai 31 anggota dan seorang pegawai polis Kelantan dikenakan tindakan ditahan kerja manakala empat lagi anggota digantung kerja.

“18 anggota terlibat gejala dadah, 11 termasuk seorang pegawai polis terlibat kesalahan rogol manakala tiga anggota terlibat rasuah.

“Mereka yang digantung kerja pula seramai empat orang iaitu masing-masing dua membabitkan kesalahan dadah dan jenayah syariah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, selain itu tujuh anggota dibuang kerja, lapan didenda, 15 lagi diberi amaran dan empat dikenakan surat teguran kerana salah laku serta masalah disiplin.

“Saya nasihatkan kepada seluruh warga PDRM Kelantan agar menjadi contoh yang baik kepada masyarakat dengan menjaga integriti serta disiplin diri sama ada semasa bertugas atau di luar waktu bertugas,” katanya.