Operasi SAR lelaki Myanmar diteruskan

Pasukan Maritim berada di lokasi untuk gerakan mencari dan menyelamat. (Gambar Maritim Malaysia)
Pasukan Maritim berada di lokasi untuk gerakan mencari dan menyelamat. (Gambar Maritim Malaysia)
A
A
A

PORT DICKSON - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki warga Myanmar yang dikhuatiri lemas di pantai Telok Kemang, Port Dickson diteruskan pada hari kedua.

Kedua-dua mangsa berusia lingkungan 30-an itu bekerja di Seremban dan sedang bercuti di pantai rekreasi bersama kira-kira 30 rakan yang lain.

Kedua-dua mereka berbaju merah dan putih serta berseluar pendek kali terakhir dilihat sedang mandi sebelum terkapai-kapai dan tenggelam ke dalam laut.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, Op Carilamat pada hari kedua diteruskan membabitkan dua aset laut iaitu bot ronda Maritim Malaysia dan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di lokasi kejadian pantai Telok Kemang semalam (Sabtu).

"Keluasan pencarian laut merangkumi seluas 21.06 batu nautika. Operasi pencarian di darat juga diteruskan dengan bantuan agensi JBPM, polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan jumlah keseluruhan seramai 49 orang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan aktiviti di pantai ketika cuaca buruk bagi mengelakkan kejadian berulang.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua lelaki dipercayai warga negara Myanmar dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Telok Kemang berhadapan sebuah hotel di sini dalam kejadian tengah hari pada Sabtu.

Artikel Berkaitan: