Lewat bayar caruman 200 pekerja, majikan didakwa

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan mendakwa majikan sebuah kilang pembuatan komponen mesin cetak di Melaka berikutan lewat membayar caruman kira-kira 200 pekerjanya walaupun gaji mereka dipotong.

Menurut Perkeso dalam satu kenyataan hari ini, perkara itu diketahui susulan kemalangan seorang pekerja wanita kilang itu di tempat kerja pada 23 Februari, yang tular di media sosial baru-baru ini, menyebabkan 52 peratus badannya terbakar. Majikan terbabit didapati tidak membayar caruman Perkeso.

“Perkeso mengambil tindakan segera membuat siasatan di kilang berkenaan dan mendapati gaji kesemua pekerja kilang itu telah dipotong tetapi caruman tidak dibayar kepada Perkeso sejak Julai tahun lalu hingga Januari lepas berjumlah RM30,292.15.

“Majikan tersebut hanya membayar tunggakan caruman kesemua pekerja berkenaan pada 11 Mac, selepas kemalangan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, hasil siasatan turut mendapati majikan berkenaan juga lewat mendaftar pekerja wanita itu yang hanya didaftarkan pada 11 Mac sedangkan beliau telah diambil bekerja pada 17 Disember lepas.

Kelewatan itu adalah kesalahan di bawah Seksyen 5, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), katanya.

Majikan akan turut didakwa kerana gagal membayar caruman dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, majikan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 iaitu penjara dua tahun atau denda tidak lebih RM10,000.00 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Majikan juga akan dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar di bawah seksyen 14A, Akta 4.

Perkeso juga akan menimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah Seksyen 48, Akta 4, bagi menuntut dua kali ganda jumlah caruman yang majikan telah mungkir atau cuai membayar caruman yang bertanggungan bagi faedah orang itu untuk dibayar mengikut kadar yang sepatutnya dia berhak. - Bernama