9 sekeluarga dikebumikan dalam satu liang lahad

Jenazah selesai dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.
Jenazah selesai dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.
A
A
A

SHAH ALAM - Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, dekat sini diselubungi suasana pilu, apabila lapan van jenazah memasuki pekarangannya membawa sembilan sekeluarga yang maut dalam kemalangan Jumaat lepas berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya ELITE, dekat sini.

Deretan lapan buah van jenazah yang dipandu petugas kesihatan lengkap mengenakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) diiringi anggota polis, dilihat tiba di pintu pagar utama tanah perkuburan itu pada jam 12.40 tengah hari.

Jenazah selesai dikebumikan jam 1.30 petang dalam satu liang lahad, di atas permintaan keluarga setelah menjalani bedah siasat dan pemeriksaan saringan Covid-19, serta disolatkan di Unit Forensik Hospital Shah Alam di sini.

Ibu mereka Allahyarham Norul Naziah Buyong, 37, dikebumikan bersama lapan anaknya iaitu Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.

Adik kepada Norul Naziah, Nurul Atika Buyong, 33, berkata, lima anak arwah bebas Covid-19 bagaimanapun empat anak termasuk bayi berusia 10 bulan, didapati positif Covid-19.

Kesemua mereka yang menaiki Proton Wira itu, maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Shah Alam.

Bapa kepada kanak-kanak dan remaja yang maut itu, Abd Razak Majit, 50, cedera ringan, manakala mereka yang menaiki sebuah lagi kereta iaitu Mimie Nafiesa Abdullah, 19; Ihyat Sufi Shokip serta Ummi Nasuha Annuwar masing-masing berusia 20 tahun juga cedera ringan.

Turut terbunuh dalam kemalangan yang mengorbankan 10 nyawa itu adalah seorang mekanik, Mohamad Rahimi Rolex, 27, dikebumikan di tanah perkuburan sama, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Keluarga malang itu dikatakan dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke rumah mereka di Padang Jawa, Klang. - Bernama