PGA7 rampas rokok seludup, vape bernilai lebih RM380,000

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya merampas sebanyak 180,000 batang rokok putih jenama ‘Zon King International’ bernilai RM135,000, yang disembunyikan di dalam kebun getah dekat Bukit Kwong, di sini, jam 3 pagi Ahad.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, kes itu dikesan, selepas sepasukan anggotanya mendapat maklumat untuk membuat pemeriksaan di kebun getah itu dan menemui sejumlah 18 kotak disembunyikan di bawah kanvas.

Beliau berkata, ketika intipan dilakukan mendapati tidak ada sesiapa yang muncul dan kesemua barang rampasan itu dibawa ke Balai Polis Lubok Setol, di sini, untuk tindakan lanjut.

“Kes akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Sementara itu, dalam rampasan berasingan, Azhari berkata, pasukannya juga turut merampas pelbagai jenis Pod Vape sebanyak 4,248 unit bernilai RM108,000 dan 1,700 botol pelbagai jenis perisa Vape bernilai RM145,000, jam 8 malam, Sabtu.

Beliau berkata, kes dikesan selepas sepasukan anggota ‘Strike Force’ yang membuat rondaan ternampak beberapa lelaki sedang memunggah kotak dari sebuah rumah ke dalam perahu di Jalan Tepi Sungai, Rantau Panjang.

“Sebaik dihampiri anggota PGA7, kesemua mereka melarikan diri ke negara jiran (Thailand).

“Pemeriksaan di dalam rumah menemui kotak-kotak berisi peralatan dan cecair vape dan kesemua barangan telah dirampas, dan akan diserahkan kepada JKDM untuk siasatan lanjut,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: