Bukan UMNO tentukan bila adakan pilihan raya: Muhyiddin

Muhyiddin semasa berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali keempat di Kuala Lumpur pada Ahad.
Muhyiddin semasa berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali keempat di Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa bukan UMNO menentukan bila diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, rakan-rakan lain terutama dalam Perikatan Nasional (PN) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berbincang terlebih dahulu mengenai masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya.

“Itu satu daripada terma yang saya nak nyatakan di sini,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali keempat di sini pada Ahad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara tersebut merupakan antara terma sokongan PN terhadap pentadbiran Ismail Sabri.

“Sokongan ini adalah berasaskan kepada terma-terma tertentu yang telah dipersetujui bersama. Ada terma-terma harus dipatuhi dan diikuti. Ini harus dipersetujui bersama.

“Kita tidak dedahkan. Cuma kita bagi tajuk sahaja. Selagi mana terma-terma ini dipatuhi, selagi itulah kita memberikan sokongan sehingga tiba masa sesuai untuk diadakan pilihan raya,” kata beliau.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berpesan kepada pihak tertentu dalam UMNO agar jangan mudah lupa diri apabila kembali memegang tampuk kerajaan.

Katanya, seperti disebut Perdana Menteri, UMNO kembali memegang tampuk kerajaan bukan kerana parti itu mempunyai jumlah kerusi majoriti di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi kerana sokongan diberikan oleh parti-parti PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan beberapa ahli Parlimen bebas,” ujar Muhyiddin.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau mengetahui bahawa ramai ahli parti Bersatu kecewa dengan kejatuhan pentadbiran kerajaan PN yang dipimpinnya baru-baru ini.

“Mereka bimbang apa akan jadi kepada Bersatu apabila Perdana Menteri bukan lagi daripada parti kami. Ada yang kata Bersatu tidak lagi mempunyai masa depan.

“Saya nak beritahu satu perkara. Sebagai seorang Islam, saya sentiasa diperingatkan dengan suatu panduan penting apabila berhadapan dengan keadaan yang agak mengecewakan.

“Panduannya ialah seperti yang disebut di dalam al-Quran la takhaf wa la tahzan innallaha maána. Janganlah kamu takut, janganlah kamu kecewa, sesungguhnya ALLAH ada bersama kita,” tegasnya.

Katanya, walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri, beliau yakin telah melakukan perkara yang betul mengikut kehendak undang-undang dan Perlembagaan serta prinsip integriti.

“Itu yang penting dan kita buktikan secara nyata kepada rakyat bahawa kita bukan parti yang rakus kuasa. Kita bukan parti tamak haloba. Kita bukan parti gangster.

“Kita adalah parti istiqamah mempertahankan prinsip integriti dan amanah demi kebajikan rakyat. Kita adalah parti yang meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi.

“Kita adalah parti yang patuh kepada undang-undang dan Perlembagaan. Kita adalah parti yang beradab dan bertatasusila,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan dan percaya bahawa Bersatu terbukti berpegang teguh dengan nilai-nilai itu dan akan terus relevan serta mendapat dokongan rakyat untuk masa kini dan masa depan.

“Insya-ALLAH, dengan dokongan rakyat ini parti kita akan beroleh kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.