Tanah runtuh Hulu Kelang: 12 pelajar tahfiz dipindahkan

Tanah runtuh di sebuah rumah di Taman Dataran Ukay Hulu Kelang di sini pada Sabtu.
Tanah runtuh di sebuah rumah di Taman Dataran Ukay Hulu Kelang di sini pada Sabtu.
A
A
A

AMPANG - Seramai 12 pelajar lelaki sebuah tahfiz serta satu keluarga dipindahkan ke Dewan Kampung Kemensah susulan insiden tanah runtuh di bahu jalan pusat tahfiz berkenaan di Hulu Kelang di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata empat anggotanya dengan bantuan lima anggota Bomba dan Penyelamat serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuat kawalan dan pemantauan di lokasi kejadian.

"Satu keluarga membabitkan seorang lelaki, seorang wanita dan seorang bayi, selain 12 pelajar tahfiz telah dipindahkan ke Dewan Kampung Kemensah," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mohamad Farouk berkata, dalam kes berasingan, sebuah rumah terjejas susulan kejadian tanah runtuh di Taman Dataran Ukay Hulu Kelang di sini.

"Kita menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan mengenai insiden itu pada jam 10.36 malam.

"Kita telah pergi ke lokasi dan mendapati tanah runtuh telah masuk ke dalam rumah tersebut," katanya

Beliau berkata, pihaknya juga menerima laporan paras air naik dan melimpah di kawasan Kampung Pinggir 3, Lembah Jaya Utara.

"Mangsa terkesan dipindahkan ke Dewan MPAJ, namun jumlahnya belum dapat dipastikan lagi. Empat anggota polis membuat kawalan di kawasan itu dibantu empat anggota bomba dan MPAJ.

Artikel Berkaitan:

"Tiada sebarang penutupan jalan dibuat. Kita juga mendapati jalan di hadapan sebuah pasar raya di Bandar Baru Ampang dinaiki air tetapi masih boleh dilalui kenderaan," katanya.