Banjir: 5,731 PPS tersedia di seluruh negara

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi taklimat situasi terkini keadaan banjir dalam negara oleh Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim di Pusat Kawalan Bencana Negara malam ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi taklimat situasi terkini keadaan banjir dalam negara oleh Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim di Pusat Kawalan Bencana Negara malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 5,731 pusat pemindahan sementara (PPS) tersedia di seluruh negara yang boleh menempatkan seramai 1,628,512 mangsa banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan 39 PPS yang dibuka di Kelantan, Pahang (84), Selangor (45), Melaka dan Negeri Sembilan masing-masing sembilan, serta Terengganu (2).

Pada masa sama, beliau berkata, semua bantuan dan aset telah diuruskan dan digerakkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan pusat bagi membantu mangsa banjir.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 66,015 petugas agensi penguatkuasa yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pada masa sama, 500 orang sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa di PPS.

“Terdapat 521 pengkalan hadapan JKM tersedia di seluruh negara bagi membekalkan keperluan barangan makanan untuk mangsa di PPS,” katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung di saluran RTM pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai situasi banjir di Selangor, Ismail Sabri berkata, situasinya agak kelam kabut berikutan negeri itu jarang dilanda banjir.

“Mungkin di negeri seperti Pahang dan Terengganu kalau musim tengkujuh persediaan sudah dibuat lebih awal.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi di Selangor keadaannya berlaku seolah-olah secara mengejut kerana musim tengkujuh jarang berlaku banjir di negeri tersebut, tetapi kita bersedia dan telah membuka 45 PPS yang telah pun menempatkan 3,826 mangsa daripada 2,551 keluarga,” jelas beliau.

Menurutnya, sebanyak 453 aset kenderaan dan logistik daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), JPBM, PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ATM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan JKM telah digerakkan dengan kekuatan 2,817 anggota.

“Saya baru bercakap dengan panglima tentera darat supaya menggerakkan lebih ramai anggota tentera keluar malam ini beserta dengan aset untuk membantu perpindahan kerana air naik begitu mendadak.

“Ramai yang terperangkap di rumah. Jadi, tentera digerakkan dan saya juga baru menghubungi Ketua Polis Negara supaya pihak polis juga digerakkan dengan lebih ramai lagi bagi membantu mangsa banjir yang terperangkap terutamanya di Lembah Klang, Selangor,” ujarnya.