123 UMNO Bahagian sokong Ismail Sabri terus jadi PM hingga 2023

Ismail Sabri (depan empat, kiri) bersama barisan pemimpin dan perwakilan menyanyikan lagu parti pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang. - Foto Bernama
Ismail Sabri (depan empat, kiri) bersama barisan pemimpin dan perwakilan menyanyikan lagu parti pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 123 UMNO Bahagian telah meluluskan usul untuk mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal 2023.

Menurut sumber yang enggan mendedahkan identitinya, kesemua pucuk pimpinan UMNO di peringkat bahagian itu juga mahu supaya pemilihan parti itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Jumlah ini sudah cukup untuk menunjukkan bahawa usul yang dibuat itu mendapat sokongan majoriti daripada 191 bahagian UMNO," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut sumber tersebut, sebelum ini terdapat laporan media yang menyatakan sebanyak 176 bahagian Pemuda UMNO menyokong supaya PRU15 diadakan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti dengan memetik kenyataan daripada Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan.

Bagaimanapun, difahamkan dakwaan tersebut tidak tepat kerana kenyataan Hasmuni telah disalah tafsir dan diputarbelitkan berdasarkan maklum balas beberapa Ketua Pemuda UMNO bahagian kepada sumber terdekat parti.

Kata mereka, tiada sebarang keputusan mengenai perkara terbabit diterima malah masih ada Pemuda Bahagian yang belum mengadakan mesyuarat.

"Seharusnya usul utama yang perlu dibangkitkan adalah usul membantu rakyat selepas zaman endemik, usul memperkasakan ekonomi rakyat dan menjaga kepentingan rakyat.

“Ini yang patut dijadikan keutamaan Pemuda untuk dibawa semasa Perhimpunan Agong Umno (PAU) nanti," kata sumber itu.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya lagi, Pemuda UMNO juga perlu meneliti semula usul usia Ketua Pemuda UMNO selari dengan pelaksanaan Undi18 pada PRU15 selain usul menetapkan salah seorang daripada naib presiden mesti berumur di bawah 50 tahun.

Menurut sumber itu, rakyat kini mahu UMNO menghulurkan bantuan dan melaksanakan inisiatif tertentu untuk peniaga dan golongan B40.

"UMNO ingat bila usul PRU diadakan segera, UMNO mampu mendapat mandat rakyat? Jangan hanya kerana PRN Melaka, kita tergesa-gesa nak buat PRU dan merasa UMNO sudah boleh kembali berkuasa.

"Seharusnya UMNO membantu Perdana Menteri dalam menyelesaikan isu rakyat dan merealisasikan Belanjawan 2021 untuk disegerakan," katanya.