Sentimen rakyat tidak memihak kepada parti pembangkang: Dr Sim

Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian - Foto Bernama
Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Sentimen rakyat jelas tidak memihak kepada pembangkang di Sarawak, kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, yang berjaya mempertahanklan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) pada Sabtu.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, orang ramai terutama dalam kalangan komuniti Cina jelas menentang mereka yang tidak berkebolehan, memungkiri janji, dan berbohong kepada rakyat.

“Sekali lagi, saya ucapkan kepada semua pengundi atas kepercayaan mereka kepada SUPP dan GPS. Bersama dengan Timbalan Presiden (SUPP), Datuk Seri Richard Riot), kami akan turut mewakili kaum bumiputera dan meneruskan amanah rakyat, walaupun di kerusi yang tidak kami menangi. Terima kasih kerana memberikan kami peluang ini.

“Kita ada banyak kerja yang perlu dilakukan, kerana rakyat meletakkan kepercayaan terhadap kita untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Saya berjanji akan terus melaksanakan manifesto kami kerana politik adalah jangka panajng dan bukan berkaitan publisiti semata-mata,” katanya semasa berucap di hadapan penyokong GPS dan SUPP di Bilik Gerakan GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam Sabtu.

Dr Sim mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana memberi kepercayaan kepada SUPP sehingga membolehkan beliau memenangi kerusi DUN Batu Kawah dengan majoriti selesa 5,393 undi.

Presiden SUPP itu memperoleh 7,827 undi manakala Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen daripada DAP memperoleh 2,434 undi, Fong Pau Teck daripada Aspirasi (133) dan Chai Kueh Khun (756).

Fong dan Chai hilang wang deposit. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: GPS menang majoriti mudah, bentuk kerajaan negeri: SPR